Monday 10 November 2014

KISAH IMAM HASAN DENGAN PENYEMBAH API


Imam Hasan al-Basri dikenali sebagai Penghulu Tabi'in, beliau mempunyai jiran yang merupakan penyembah api yang bernama Sam'iun. Suatu hari Sam'iun jatuh sakit dan ajalnya hampir tiba. Sahabat-sahabat meminta agar Hasan sudi mengunjunginya. Akhirnya Hasan pun mendapatkan Sam'iun yang telah terbaring di tempat tidurnya dan badannya telah hitam disebabkan api dan asap.

Imam Hasan : "Takutlah kamu kepada Allah. Engkau telah mensia-siakan seluruh usiamu di tengah-tengah api dan asap."

Sam'iun : "Ada tiga perkara yang telah menghalangku untuk menjadi seorang muslim. Pertama adalah kenyataan kamu semua orang Muslim membenci dunia tapi siang dan malam mengejar harta kekayaan.

Kedua, kamu semua mengatakan bahawa mati adalah suatu kenyataan yang harus dihadapi namun tidak bersedia untuk menghadapinya.

Ketiga, kamu semua mengatakan bahawa wajah Allah akan dilihat, namun hingga saat ini masih melakukan segala yang tidak diredhai-Nya," jawab Sam'iun penyembah api.

Imam Hasan berkata : "Inilah ucapan dari manusia-manusia yang sungguh­ sungguh mengetahui. Jika setiap muslim berbuat begitu, apakah yang sepatutnya engkau katakan? Mereka mengakui keesaan Allah sedangkan engkau menyembah api selama tujuh puluh tahun, dan aku tidak pernah berbuat seperti itu. Jika kita sama-sama terseret ke neraka, api neraka akan membakar dirimu dan diriku.Tetapi jika diizinkan Allah, api tidak akan berani menghanguskan walau sehelai rambut pada tubuhku. Ini disebabkan api diciptakan Allah dan segala ciptaan-Nya tunduk kepada perintah-Nya. Walaupun engkau menyembah api selama tujuh puluh tahun, marilah kita bersama-sama menaruh tangan kita ke dalam api agar engkau dapat menyaksikan sendiri betapa api itu sesungguhnya tidak berdaya dan betapa Allah itu. Maha Kuasa,".

Setelah berkata demikian Hasan memasukkan tangannya ke dalam api. Namun sedikit pun tidak cedera atau terbakar. Melihatkan hal itu Sam'iun merasa hairan. Suatu ilmu baru telah diketahuinya.

Sam'iun : "Selama tujuh puluh tahun aku telah menyembah api, kini hanya dengan satu atau dua helaan nafas saja yang tinggal, apakah yang harus kulakukan?".

Imam Hasan : "Jadilah seorang Muslim," .

Sam'iun : "Jika engkau memberiku jaminan bahawa Allah tidak akan menghukum diriku, barulah aku menjadi muslim. dengan jaminan itu aku tidak mahu memeluk agama Islam," .

Hasan segera membuat satu surat jaminan.

Ramai orang-orang yang jujur di kota Basrah memberi kesaksian mereka di atas surat jaminan tersebut. Sam'iun menitiskan air mata dan menyatakan dirinya sebagai seorang Muslim. Kepada Hasan Dia berwasiat kepada Hasan, "Setelah aku mati, mandikanlah aku dengan tanganmu sendiri, kuburkanlah aku dan selitkan surat jaminan ini di tanganku. Surat ini akan menjadi bukti bahawa aku adalah seorang Muslim."

Setelah berwasiat demikian, ia mengucap dua kalimah syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mereka memandikan mayat Sami'un, mensolatkannya dan menguburkannya dengan surat jaminan di tangannya. Di malam harinya Hasan berbaring sambil merenungi apa yang telah di lakukannya itu. "Bagaimana aku dapat menolong seseorang yang sedang tenggelam sedang aku sendiri dalam keadaan yang serupa. Aku sendiri tidak dapat menentukan nasibku, tetapi mengapa aku berani memastikan apa yang akan dilakukan oleh Allah?"

Dalam keadaan memikirkan hal itu, Hasan terlena. Beliau bermimpi bertemu dengan Sam'iun, wajah cerah dan bercahaya seperti sebuah pelita; di kepalanya ada sebuah mahkota. Dia memakai sehelai jubah yang indah dan sedang berjalan-jalan di taman syurga.

"Bagaimana keadaanmu Sam'iun?" Tanya Hasan kepadanya.

"Mengapakah engkau bertanya padahal kau menyaksikan sendiri? Allah Yang Maha besar dengan segala kemurahan-Nya telah menghampirkan diriku kepada-Nya dan telah memperlihatkan wajah-Nya kepadaku. Pemberian yang dilimpahkan-Nya kepada ku melebihi segala-galanya. Engkau telah memberi ku surat jaminan,terimalah kembali surat jaminan ini kerana aku tidak memerlukannya lagi," jawab Sam'iun.

Ketika Imam Hasan terbangun ia mendapati surat itu telah berada di tangannya. Imam Hasan berseru, "Ya Allah, aku menyedari bahawa segala sesuatu Engkau lakukan adalah tanpa sebab kecuali kerana kemurahan-Mu semata. Siapakah yang akan tersesat di pintu-Mu? Engkau telah mengizinkan seseorang yang telah menyembah api selama tujuh puluh tahun lamanya untuk menghampiri-Mu, semata-mata kerana sebuah ucapan. Betapakah Engkau akan menolak seseorang yang telah beriman selama tujuh puluh tahun?".

Kisah ini menunjukkan bahwa kita tidak boleh memandang rendah dan hina kepada orang bukan Islam kerana mungkin saja kesudahan hidup mereka lebih baik dari kita. Semoga Allah kurniakan kita semua husnul khatimah.

Jika Allah hendak memberi hidayat kepada seseorang maka tiada siapa yang dapat menghalangnya.

"Adakah orang yang dilapangkan dadanya oleh Allah untuk Islam, sehingga dia mendapat cahaya dari Tuhannya, sama dengan orang yang keras hatinya ?"
(Surah Zumar; 22)

KISAH SYEIKH ABU YAZID AL BUSTHAMI DAN MAJUSI


Suatu ketika, Syeikh Abu Yazid al-Busthami sedang bersiap untuk ke masjid mengerjakan solat Zohor. Anak-anak muridnya sedang menunggu diluar rumahnya untuk mengiringinya ke masjid. Waktu sudah agak terlewat dan para makmum dan anak-anak muridnya yang lain sedang menunggu di masjid.

Apabila Syeikh Abu Yazid keluar, mereka semua bergegas ke masjid. Dalam perjalanan melalui lorong-lorong yang kiri kanannya adalah rumah-rumah yang diperbuat dari tanah, Syeikh Abu Yazid tersandung kakinya lalu ingin terjatuh namun sempat ditahan dengan tangannya ke tembok tanah disisinya supaya beliau tidak tersembam ke tanah. 

Beberapa debu tanah telah terjatuh dari tembok tersebut. Syeikh Abu Yazid bertanya milik siapa rumah ini. Anak muridnya menjawab ini adalah rumah seorang Majusi.

Abu Yazid : “ Aku ingin berjumpa dengannya sekarang “.

Murid : “ Tapi Tuan Guru, orang-orang sedang menunggu di masjid, selepas solat insyallah kita segera ke sini semula untuk berjumpa dengannya “.

Abu Yazid : “ Adakah engkau dapat menjamin kepadaku bahawa aku dapat hidup selepas solat untuk meminta mmaf dari Majusi ini ?”.

Murid “ Maafkan saya Tuan Guru, saya tak dapat memberi jaminan tersebut kerana ajal hidup seseorang hanya di Tangan Allah “.

Abu Yazid : “ Kalau begitu , mari kita jumpa Majusi ini sekarang “.


Mereka mengetuk pintu rumah Majusi tersebut , dia pun keluar, Syeikh Abu Yazid menceritakan apa yang terjadi dan meminta maaf dan minta dihalalkan untuk beberapa debu tanah yang digugurkan secara tidak sengaja dan memintanya untuk menyatakan berapa ganti rugi yang perlu di bayar jika dia inginkannya.

Majusi itu terkejut sebentar lalu berkata , “ Adakah agama kamu mengajar untuk meminta maaf walau untuk beberapa debu tanah ?!”.


Abu Yazid : “ Ya, agama kami mengajar yang demikian, jika tidak ,di akhirat nanti kami akan dituntut kerana menzalimi hak orang lain ketika didunia “.

Majusi itu menangis dan berkata “ Sungguh indah agamamu ini, hulurkan tanganmu wahai Syeikh, aku ingin masuk Islam “.


Rupa-rupanya , ketika itu keluarga Majusi itu mendengar perbualan mereka dari dalam rumah. Mereka semua keluar dan menyatakn bahwa mereka juga ingin masuk Islam.

Lihatlah akhlak yang ditunjukkan oleh Syeikh Abu Yazid menyebabkan seluruh keluarga si Majusi memasuki Islam. Disebabkan kejujurannya meminta maaf dari beberapa debu tanah yang dijatuhkannya dari tembok orang lain telah menyinarkan cahaya keimanan kepada orang yang tidak beriman.

Pada hari ini, akhlak seperti ini susah didapati malah pada zaman ini bukan saja debu tanah tapi ada orang sanggup mengambil berekar-ekar tanah tanpa hak untuk dirinya sambil ketawa berekah-dekah tanpa rasa cemas dan takut kepada Allah.

Sabda Nabi saw “Barang siapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka Allah akan mengalungkan tujuh bumi kepadanya." (Bukhari, Muslim)