Monday 11 January 2016

NASIHAT IBLIS KEPADA NABI NUH A.S.


Di antara manusia yang mendapat umur yang sangat panjang di dunia ini adalah Nabi Nuh as. Al-Quran mengatakan bahawa dia pernah hidup di sekitar kaumnya selama sembilan ratus lima puluh tahun. Sepanjang masa itu Nabi Nuh telah menyeru mereka pada jalan Allah S.W.T., namun hanya sedikit dari mereka yang kemudian mengikuti jalannya. Melihat kaumnya yang sengaja mengingkari agama Allah S.W.T., bahkan sering mengganggunya, Nabi Nuh memohon kepada Allah S.W.T. agar ditimpakan bencana kepada mereka. Allah S.W.T. mengabulkan permohonannya. 



Nabi Nuh diperintahkan untuk membuat kapal besar yang boleh memuat semua jenis makhluk hidup. Allah S.W.T. akan menurunkan hujan yang sangat lebat dan mengalirkan banjir yang sangat besar sehingga tidak satu pun dari mereka yang kafir akan tertinggal. 


Tiba waktunya apa yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Bersama semua pengikutnya dan segenap pasangan makhluk melata lain Nabi Nuh naik ke atas kapal. Hujan mulai turun membasahi bumi. Nabi Nuh memperhatikan satu persatu dari mereka yang hadir di kapal. Tiba-tiba matanya memandang seorang lelaki tua yang tidak dikenalnya. 


“Siapa anda?” tanya Nabi Nuh ingin tahu. 


“Aku Iblis,” jawabnya. 


Dasar Iblis, dia tahu saja bagaimana cara masuk ke dalam kapal Nabi kekasih Allah itu. Dia boleh hadir di mana saja dia mahu. Bukan kerana dia makhluk ajaib, tetapi dia memang sangat gigih memperjuangkan usahanya. 


“Mengapa engkau mahu ikut kami?” tanya Nabi Nuh lagi. 


“Aku bukan mahu ikut kapalmu dan ingin selamat bersamamu. Aku hanya ingin mengganggu hati para pengikutmu. Biarlah tubuh mereka bersamamu asal hati mereka bersamaku,” jawab Iblis terus terang. 


Iblis memang tidak pernah menyembunyikan niat jahatnya untuk mencelakakan manusia. Fikirnya, semua manusia sudah tahu siapa dia. Sejak zaman Adam sampai hari kiamat. Mengapa harus berbohong lagi, kerana tidak semua yang manusia ketahui pasti akan diikuti. 


“Keluarlah dari kapalku, wahai musuh Allah!” kata Nabi Nuh kepada Iblis. 


Iblis tidak menjawab apakah mahu keluar atau akan tetap di sana. Sebelum Nabi Nuh, Allah S.W.T. juga pernah mengusirnya keluar dari syurga. Tetapi, dia masih saja membangkang perintah Allah S.W.T. dan terus berusaha menggoda Adam sampai berhasil. 


Dia hanya berkata, “Wahai Nuh, aku menyimpan lima strategi yang dengannya aku akan boleh mencelakan umat manusia. Aku akan sebutkan padamu yang tiga, tapi akan menyembunyikan darimu dua lainnya.” Kemudian Allah mewahyukan pada Nuh agar tidak usah mendengarkan yang tiga, tapi dengar saja dua yang lainnya. 


“Aku tidak berminat mendengar tiga strategi yang akan engkau sebutkan itu, tapi sebutkan dua strategi yang engkau sembunyikan dariku,” jawab Nuh. 


Iblis berkata, “Wahai Nuh aku akan berusaha membinasakan manusia dengan dua cara: pertama, dengan cara menanamkan sifat dengki dalam hati mereka; dan kedua dengan cara menanamkan sifat serakah dalam jiwa mereka. Kerana dengki maka aku dilaknat oleh Allah dan dijadikannya sebagai syaitan yang terkutuk. Dan kerana serakah maka Adam menghalalkan segala makanan di syurga sehingga dia dikeluarkan. Dengan dua sifat ini, kami semua dikeluarkan dari syurga. 

Sumber : Kitab Ihya Ulumuddin Karangan Imam Ghazali



KEWARAKAN IMAM SYAFIE


Imam Syafie rahimahullah adalah seorang Imam Mujtahid yang dianugerahkan oleh Allah dengan hafalan yang kuat. Suatu hari hafalannya agak kurang memberangsangkan, maka dia bertanya kepada ibunya "Wahai Ibu, apa yang telah engkau masak untuk ku makan?", dijawab oleh ibunya "aku memasak daging lembu untuk makananmu", ditanya lagi kepada ibunya" dari mana dapat duit untuk membeli daging?", dijawab oleh ibunya 'dari upah aku menjahit pakaian", ditanya lagi "di pasar mana ibu membeli daging?", maka dikhabarkan oleh ibunya pasar dia membeli daging. Lalu Imam Syafie rahimahullah pergi ke pasar tersebut dengan melihat cara penyembelihan lembu, Alhamdulillah, semuanya mengikut syarak, lalu ditanya kepada sipenjual daging "dari mana ladang ternakan lembu Tuan?", maka dikhabarkan oleh sipenjual daging. Lalu Imam Syafie rahimahullah pergi melihat sendiri ladang ternakan dan didapatinya ada beberapa ekor lembu yang telah meragut rumput yang bukan milik tuannya. Secara spontan Imam Syafie rahimahullah mengeluarkan dan memuntahkan semua yang dimakan kerana merasakan asbab dari itu menyebabkan kurang hafalannya.

Lihatlah betapa waraknya Ulama terdahulu menjaga makan, adapun kita pada hari ini yang mengaku lebih baik dari Ulama terdahulu tak banyak tanya, semuapun kita telan. Imam Syafie rahimahullah juga terus beristigfar apabila ada kain seorang wanita yang terselak yang menampakkan betis wanita tersebut, adapun kita pada hari, semuapun kita lihat, jauh sangatlah kita yang mengaku hebat dengan ilmu sehingga sanggup nak mempersendakan Ulama-Ulama terdahulu.

PERMINTAAN NABI ADAM AS DAN IBLIS


Ketika Nabi Adam AS dikeluarkan dari surga dan diturunkan ke bumi karena melanggar larangan Allah untuk tidak memakan buah dari pohon kayu (Iblis menyebutkannya buah khuldi, buah keabadian), ia berkata, “Wahai Allah, inilah dia iblis, yang Engkau telah menjadikan dia sebagai musuh bagiku, permusuhan yang tiada habisnya. Jika Engkau tidak menolongku untuk melawannya, nescaya aku tidak akan mampu melawannya…!!”
Maka Allah berfirman, “Tidak dilahirkan seorang anak bagimu, melainkan seorang malaikat telah diwakilkan kepadanya.”
Nabi Adam berkata, “Wahai Tuhanku, tambahkanlah untukku!”
Allah berfirman, “Sesungguhnya satu keburukan yang dilakukan anak keturunanmu akan Aku balas dengan satu keburukan, sedangkan satu kebaikan yang dilakukannya akan Aku balas dengan sepuluh kebaikan, atau akan Aku lebih lipat gandakan sebanyak yang Aku kehendaki.”
Nabi Adam berkata lagi, “Wahai Tuhanku, tambahkanlah aku!”
Allah berfirman, “Pintu taubat akan selalu terbuka bagi anak keturunanmu, selama ruh masih melekat pada jasadnya.”
Mendengar permintaan Nabi Adam tersebut, Iblis segera mengajukan permintaan juga. Ia berkata, “Wahai Tuhanku, inilah dia seorang hamba, yang Engkau telah memuliakannya di atasku, jika Engkau tidak menolongku untuk menghadapinya, nescaya aku tidak mampu mengalahkannya”
Allah berfirman, “Tidak dilahirkan seorang anak bagi Adam, melainkan dilahirkan pula seorang anak bagimu.”
Iblis berkata lagi, “Wahai Tuhanku, tambahkanlah untukku!”
Allah berfirman, “Engkau berjalan pada mereka pada beredarnya darah, dan engkau boleh menjadikan hati mereka sebagai rumah-rumahmu.”
Ia berkata lagi, “Wahai Tuhanku, tambahkanlah untukku!”
Maka Allah berfirman kepada Iblis, “Dan pujuklah (goda) siapa yang kamu sanggupi di antara mereka dengan ajakanmu, dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang berjalan kaki dan berserikanlah dengan mereka pada harta dan anak-anak dan beri janjilah mereka. Dan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan kepada mereka melainkan tipuan belaka.”
Sumber : Kitab Ihya Ulumuddin Karangan Imam Ghazali