Friday, 30 January 2015
MABUK DALAM CINTA TERHADAP ALLAH
Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahwa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun. Bila pemuda yang sedang menyiram air itu melihat kepada Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, "Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Allah agar memberi kepadaku seberat semut Jarrah cintaku kepada-Nya."
Berkata Nabi Isa a.s, "Wahai saudaraku, kamu tidak akan terdaya untuk seberat Jarrah itu."
Berkata pemuda itu lagi, "Wahai Isa a.s, kalau aku tidak terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah."
Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, "Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat Jarrah cintanya kepada-Mu." Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari situ.
Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan berkata kepada salah seorang yang berada di situ bahwa pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung.
Setelah Nabi Isa a.s mendengat penjelasan orang-orang itu maka beliau pun berdoa kepada Allah S.W.T, "Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu." Selesai saja Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya memandang ke langit.
Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata, "Aku ini Isa a.s." Kemudian Allah S.W.T menurunkan wahyu yang berbunyi, "Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya."
Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.
1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.
2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia ingin mendapat sanjungan dari manusia.
3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.
Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima lupa kepada yang lima :
1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.
2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab.
3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada al- Khaliq.
4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.
5. Mereka cinta kepada mahligai-mahligai mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur."
Sumber : Kitab Mukasyafah Al Qulub karangan Imam Al-Ghazali
KU NIKAHI DIA KERANA AGAMANYA!!!
Yahya bin Yahya an-Naisaburi menceritakan: "Suatu hari, ada seorang lelaki mendatangi Imam Sufyan bin 'Uyainah r.a dengan berkata : ’Wahai Abu Muhammad (kunyah/gelaran Imam Sufyan)! Aku ingin mengadukan kepadamu tentang keadaan isteriku. Aku menjadi lelaki yang paling hina dimatanya”.
Maka Imam Sufyan menggeleng-gelengkan kepalanya kehairanan dan kemudian berujar: "Mungkin, keadaan itu muncul kerana engkau menikahinya untuk meraih kehormatan?”
Lelaki itu pun mengakuinya: "Ya, betul wahai Abu Muhammad”.
Imam Sufyan lalu berpesan: "Barang siapa pergi kerana mencari kehormatan, nescaya akan diuji dengan kehinaan. Barangsiapa mengerjakan sesuatu lantaran dorongan harta, nescaya akan diuji dengan kefakiran. Barangsiapa mengerjakan sesuatu kerana dorongan agama, nescaya Allah akan menghimpun kehormatan dan harta bersama agamanya”.
Lalu, Imam Sufyan mula bercerita:
"Kami adalah empat bersaudara, Muhammad, Imran, Ibrahim, dan aku sendiri. Muhammad adalah abang sulung., Imran anak bongsu. Sedangkan aku berada di tengah-tengah.
Tatkala Muhammad ingin menikah, ia menginginkan kemuliaan nasab. Maka ia menikahi wanita yang lebih tinggi kedudukannya. Kemudian Allah mengujinya dengan kehinaan.
Sedangkan Imran, (saat menikah) ingin mendapatkan harta. Maka ia menikahi wanita yang lebih kaya dari dirinya. Allah kemudian mengujinya dengan kemiskinan. Keluarga wanita mengambil seluruh yang dimilikinya, tidak menyisakan sedikitpun.
Aku pun merenungkan nasib keduanya. Sampai akhirnya Ma’mar bin Rasyid datang menghampiriku. Aku pun berbincang dengannya. Aku ceritakan kepadanya peristiwa yang menimpa para saudaraku. Ia mengingatkanku dengan hadis Yahya bin Ja’daj dan hadits Aisyah r.a
Hadis Yahya bin Ja’dah yang dimaksudkan, iaitu sabda Nabi shallallahu alaihi wa sallam:
”Wanita dinikahi kerana empat perkara: Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Carilah wanita yang beragama, nescaya kamu akan beruntung”.
Sedangkan hadis Aisyah r.a, Nabi shallallahu alaIhi wa sallam bersabda:
"Wanita yang paling besar berkatnya adalah wanita yang paling ringan beban pembiayaannya”
Maka, aku memutuskan untuk memilih bagi diriku (wanita yang) memiliki agama dan beban yang ringan untuk mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu alahi wa sallam. Allah menghimpunkan bagiku kehormatan dan limpahan harta dengan sebab agamanya”.
Itulah salah satu hikmah yang muncul dari lisannya. Tidak sedikit untaian hikmah dari Sufyan yang mencerminkan kekuatan pegangannya dengan sunnah Nabi SAW dan kedekatannya dengan Al-Khaliq, Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Sumber : Tahdzibul Kamal Fi Asmai ar-Rijal (3/223-228) karya Imam al-Hafiz Jamaluddin Abul Hajjaj Yusuf al-Mizzi r.a.
KISAH KEMUNCULAN AR-RIHUL AHMAR & DOA MENGATASINYA
Penyakit angin ahmar (stroke) ialah penyakit mati sebahagian badan yang biasanya datang secara tiba-tiba dan sukar pula diubati. Walau bagaimana pun dengan rahmat Allah SWT kepada hamba-hambanya maka melalui Nabi Muhammad SAW, umat Islam dikurniakan doa yang sangat mustajab dan besar faedahnya bagi menjauhi penyakit tersebut.
Penyakit angin ahmar ini mempunyai sejarahnya tersendiri yang telah ada semenjak zaman Nabi Sulaiman AS. Semasa baginda mengadap segala rakyatnya termasuk segala jin, manusia dan binatang, semuanya tunduk kepada Nabi Sulaiman AS. Tiba-tiba terlintas di dalam hatinya berkata siapakan makhluk Allah yang tidak mahu tunduk kepadanya. Seketika itu juga menjelma satu makhluk seperti lembaga manusia yang besar, gagah, hebat serta garang. Badannya sebesar pokok dan dikelilingi api lalu merenung tajam ke arah Nabi Sulaiman AS. Nabi Sulaiman AS terkejut dan mengeletar lalu bertanya kepada lembaga itu siapakah dia dan mengapa ia datang. Lembaga itu menjawab bahawa aku adalah Ar-Rihul Ahmar(Angin Ahmar) iaitu penyakit yang amat berbahaya dari lain-lain penyakit. Ia di beri kuasa untuk mendatangkan kesakitan kepada anak cucu Adam, termasuk boleh meresap ke dalam urat saraf, darah dan otak seseorang dan mampu merosakkan segala urat saraf sehingga menjadi hilang akal.
Nabi Sulaiman AS segera mengarahkan segala jin-jin dan panglima-panglimanya agar menangkap dan membunuh Ar-Rihul Ahmar itu. Apabila jin-jin dan panglima-panglimanya berjaya menangkap Ar-Rihul Ahmar dan cuba menghapuskannya dengan sambil gelak ketawa Ar-Rihul Ahmar itu menjawab bahawa tiada suatu makhluk dan kaedah pun yang boleh membunuh dan menghapuskannya serta ia akan kekal hidup, lalu dengan segera ia menghilangkan diri.
Ar-Rihul Ahmar muncul semula pada zaman Nabi Muhammad SAW, cucu baginda iaitu Saidina Hassan bin Ali pernah terkena penyakit rongga dan keluar darah. Ketika itu, turun Malaikat Jibril memberitahu bahawa Hassan terkena penyakit Angin Ahmar. Lalu baginda bertanya adakah ubat penawarnya. Jibril menjawab 'ada' lalu ghaib. Sebentar kemudian kembali memberitahu Rasulullah bahawa Allah SWT telah mengurniakan doa mustajab bagi sesiapa yang membacakannya walaupun sekali seumur hidup akan dilindungi dari penyakit angin ahmar. Baginda pun membaca doa ini, lalu Saidina Hassan pun sembuh Baginda menganjurkan kepada para sahabat agar mengajarkan doa ini kepada seluruh umat Islam.
Friday, 16 January 2015
KISAH TAUBAT YANG MENGKAGUMKAN
Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikuti Rasulullah SAW mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah SAW akan khabarkan kepada Tsa’labah dan beliau akan menunaikannya.
Suatu hari Rasulullah menyuruh Tsa’labah mencari sesuatu. Ketika dalam pencarian barang yang dihajati Rasulullah itu, Tsa’labah telah melalui beberapa deretan buah rumah.
Tanpa disangka salah sebuah rumah yang dilaluinya itu pintu belakang rumah tersebut tiba-tiba terbuka ditiup angin. Ketika itulah Tsa’labah secara tidak sengaja terpandang ke dalam bilik air rumah tersebut dan terlihatlah oleh beliau seorang perempuan sedang mandi.
"A'uzubillah (Aku berlindung kepada Allah)! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah SAW! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah ..." begitulah rintihan Tsa’labah.
Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah SAW. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang di puncaknya ada sebuah gua. Tsa’labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Merasa kesal yang amat sangat dengan dosanya itu. Walhal apa yang berlaku itu bukanlah disengajakannya.
Sementara itu, Rasulullah SAW menantikan kepulangan Tsa’labah. Sudah beberapa hari berlalu, namun Tsa’labah tidak balik. Lalu Rasulullah SAW mengarahkan Syaidina Umar RA untuk mencari Tsa’labah.
Akhirnya Syaidina Umar al-Khatab berjumpa Tsa’labah di tempat persembunyiannya di puncak bukit itu.
Umar berkata "Tsa’labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."
"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku? Sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah? Aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka," kata Tsa’labah dalam ketakutan yang amat sangat.
Oleh kerana Tsa’labah sudah teramat lemah, lalu Syaidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarahi Tsa’labah, Tsa’labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tsa’labah.
Tetapi Tsa’labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tsa’labah?"
"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tsa’labah.
"Apa yang kamu mahu Tsa’labah?"
"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"
"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"
"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."
Lalu Rasulullah SAW berkata, "wahai Tsa’labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."
Tidak lama selepas itu, Tsa’labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas riba Rasulullah SAW.
Ketika jenazah Tsa’labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW pun datang tetapi agak lewat. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tsa’labah. Sungguh pun begitu, Rasulullah berjalan merapati kubur Tsa’labah dalam keadaan perlahan dan seperti tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"
Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tsa’labah ke kubur."
Thursday, 15 January 2015
KISAH TERTOLAKNYA ZAKAT SA'LABAH BIN HATIB
Pada zaman Rasulullah, ada seorang lelaki bernama Sa’labah bin Hatib. Pekerjaannya ialah mengembala kambing. Kehidupannya cukup sederhana dan beliau seorang yang taat menunaikan ibadah dan selalu solat berjemaah bersama Rasulullah.
Namun demikian, Rasulullah amat hairan melihat kelakuan Sa’labah. Setiap kali selesai solat dia segera bangkit dan pulang ke rumahnya. Padahal jemaah lain masih duduk berzikir dan berdoa bersama Rasulullah.
Pada suatu hari, Rasulullah bertanya kepada Sa’labah."Hai Sa’labah, mengapa engkau sangat cepat bangkit dari dudukmu apabila selesai menunaikan solat bersama kami?".
Sa’labah menjelaskan kepada Rasulullah, bahawa beliau hanya mempunyai sehelai kain sahaja untuk solat. Oleh itu beliau perlu cepat kembali kerumah supaya kain yang dipakainya itu pula dipakai pula oleh isterinya untuk solat.
Walau bagaimanapun, di sebalik ketaatannya itu, Sa’labah ada menyimpan sedikit perasaan ingin menjadi kaya. Perasaan ingin kaya ini telah lama dipendam oleh Sa’labah didalam hatinya.
Maka pada suatu hari, Sa’labah berjumpa Rasulullah dan beliau mangharapkan agar Rasulullah mendoakan kepada Allah supaya beliau beroleh kekayaan atau rezeki yang banyak.
Mendengar permintaan Sa’labah itu, Rasulullah memandangnya dengan penuh kehairanan, lalu baginda bertanya, "untuk apa rezeki yang banyak itu wahai Sa’labah? Menurut pendapatku, lebih baik rezeki sederhana yang diberikan Allah daripada rezeki yang banyak tetapi menyusahkan kita kelak!", hujah Rasulullah. Sa’labah terdiam.
Dia tidak menjawab pertanyaan Rasulullah itu. Dalam diamnya itu nafsu ingin kaya yang sudah lama tertanam dihatinya bukan semakin berkurang, tetapi semakin menjadi-jadi.
Tidak lama selepas itu, Sa’labah menyampaikan permohonannya lagi kepada Rasulullah.
Permintaannya kali ini disertai dengan alasan yang lebih kuat, antara lain Sa’labah berkata; "Kalau aku kaya kelak, kaum miskin dan melarat akan kuberi bantuan secukupnya, akan ku dirikan hospital, membangunkan rumah-rumah ibadah. Pendek kata, segala harta yang dikurniakan akan digunakan sebaik-baiknya demi keredhaan Allah,"
Mendengar ucapan Sa’labah yang bersunguh-sunguh itu maka Rasulullah mendoakan kepada Allah agar Sa’labah dikurniakan-Nya dengan harta yang banyak.
Allah memakbulkan permintaan hamba dan Rasul-Nya. Rezeki Sa’labah makin bertambah. Kambing Sa’labah makin membiak dengan banyaknya. Semenjak kekayaanya bertambah, ibadatnya pun semakin berkurangan.
Solat berjemaah tidak lagi dihadirinya. Ini disebabkan ia terlalu sibuk menguruskan kambing-kambingnya yang sudah ribuan banyaknya.
Dulu sebelum beroleh harta kekayaan Sa’labah pernah berjanji kepada Rasulullah bahawa dia ingin menggunakan segala kekayaanya itu untuk berjuang ke jalan Allah tetapi dia tidak menepati janji.
Rasulullah sering juga bertanya akan perihal Sa’labah kepada kawan-kawannya. Orang ramai menerangkan kepada Rasulullah bahawa Sa’labah keadaannya semakin teruk kerana beliau amat kedekut, bukan sahaja kedekut kepada orang lain bahkan kedekut kepada dirinya sendiri.
Pada suatu hari turunlah ayat mewajibkan zakat kepada Nabi Muhammad S.A.W. Maka perintah zakat itu segera disampaikan oleh Rasulullah kepada segenap umat islam yang mampu tidak terkecuali Sa’labah.
Ketika utusan Rasulullah sampai ke rumah Sa’labah, beliau tidak mempercayai utusan itu bahkan mencurigai Rasulullah sendiri.
Padanya itu hanya peraturan Rasullullah kerana cemburu disebabkan kambingnya yang banyak yang mesti dizakatkan dan bukannya perintah Allah.
Sa’labah tidak memperdulikan kata-kata utusan Rasulullah. Dia masih juga tidak mahu membayar zakatnya kerana disangkanya perintah menunaikan zakat itu adalah ciptaan Rasullullah sendiri.
Maka utusan Rasullullah itu keluar dari rumah Sa’labah dengan perasaan hampa. Sedangkan apabila meminta pada orang kaya yang lain, mereka (orang kaya) memberikan zakat ternakan mereka dengan senang hati.
Begitulah sifat Sa’labah setiap kali utusan Rasulullah datang. Ada-ada sahaja helah dan alasan yang dikemukakannya untuk mengelakkan dari membayar zakat.
Pada masa itu, turunlah Firman Allah dan akhirnya dimaktubkan di dalam surah Al-Baqarah, ayat 75-78 yang bermaksud:
"Diantara mereka, ada yang berjanji kepad Allah. Sekiranya aku diberi rezeki yang banyak, aku akan banyak memberi sedekah, aku akan menjadi orang yang soleh. Tetapi, setelah mereka memperolehi rezeki yang berlimpah ruah lalu mereka menjadi orang yang bakhil dan berpaling dari janjinya. Akhirnya mereka ditimpa penyakit munafik pada hari di mana mereka itu kembali kepada Allah disebabkan mereka mengingkari janjinya sendiri dan disebabkan
kebohongan mereka. Apakah mereka tidak tahu, bahawa Allah itu Maha Mengetahui segala rahsia dan apa yang tersirat dalam hati mereka dan bahawa Allah itu mengetahui segala perkara ghaib?"
Salah seorang daripada sahabat Sa’labah yang mengetahui turunnya ayat itu segera memberitahunya. Kata sahabat Sa’labah tersebut: "Berhati-hatilah engkau. Apakah kambing-kambingmu yang banyak itu akan engkau bawa ke mati? Dahulu engkau telah berjanji kepada Allah dan bukan hanya kepada Nabi Muhammad! Sa’labah sahabatku, zakat yang diminta oleh utusan Rasulullah itu bukanlah untuk baginda dan bukan pula baginda yang mengadakan hukum zakat itu".
Mendengar penjelasan sahabatnya itu, membuatkan Sa’labah menjadi sedar akan kesalahan dan keangkuhannya selama ini. Sa’labah bukan sahaja insaf, malah dia merasa takut yang amat sangat.
Tanpa berfikir panjang lagi. Sa’labah pergi kepada Rasulullah dengan membawa berpuluh-puluh ekor kambing untuk dizakatkannya.
Tetapi Rasulullah hanya menggelengkan kepala sambil mengatakan bahawa baginda tidak menerima zakat itu, bahkan pintu zakat sudah tertutup bagi Sa’labah.
Mendengar jawapan tersebut Sa’labah menangis sekuat-kuat hatinya. Dia memukul-mukul kepalanya seperti perbuatan orang gila.
Dengan perasaan yang amat kecewa, takut dan malu yang amat sangat. Sa’labah kembali ke rumahnya dengan membawa kambing-kambingnya itu.
Dalam hatinya penuh dengan penyesalan. Usaha sa’labah hendak menyerahkan zakat ternakannya tetap gagal. Hinggalah ke zaman pemerintahan Khalifah Utsman bin Affan iaitu selepas kewafatan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar.
Beliau tetap dalam keadaan takut, kecewa dan menyesal kerana zakatnya tidak diterima lagi sedangkan ancaman Allah sudah turun yang ditujukan kepada orang-orang yang enggan membayar zakat.
Sumber : Kitab "Tanwiru Fi Asqathit Tadbir" Karangan Syeikh Ibnu Attaillah As Sakandari
KISAH RAJA BERTAUBAT MENJADI SEORANG WALI
Dikisahkan bahawa Ibrahim Bin Adham bertaubat setelah berlaku satu peristiwa semasa beliau sedang berburu. Setelah begitu lama berada diatas kudanya, dia pun berhenti dan mengeluarkan bekalan makanan yang telah disediakan olehnya sebelum keluar berburu . Tiba-tiba datang seekor burung gagak menyambar rotinya dan terus terbang. Beliau terkaku melihat kejadian itu.
Melihat keadaan itu, Ibrahim Bin Adham pun menunggang kudanya semula dan terus mengejar burung gagak itu tadi. Burung gagak itu terus terbang ke gunung dan Ibrahim Bin Adham masih mengejarnya. Semasa mendaki gunung itu, beliau telah terserempak dengan seorang lelaki yang telah diikat tangan dan kakinya . Ibrahim Bin Adham berasa hairan dan terus bertanyakan kepada lelaki itu, " Bagaimana kamu boleh berkeadaan sebegini rupa?". Lelaki itu menjawab " Sebenarnya aku ini seorang pedagang yang telah dirompak . Mereka telah mencuri keseluruhan hartaku dan telah mengikat tangan dan kakiku. Aku ditinggalkan disini keseorangan dengan haus dan lapar. Setelah aku terseksa selama 7 hari , dengan izin Allah s.w.t seekor burung gagak telah dihantar olehNya. Burung ini selalu membawa makanan kepadaku , ia bertenggek diatas dadaku dan memotong roti dengan paruhnya dan menyuapkan ia kepadaku. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak membiarkan aku kelaparan "
Ibrahim Bin Adham terus merasa insaf dan bertaubat. Setelah pulang ke istananya, beliau terus menanggalkan pakaian kebesaran dan memerdekakan hamba-hambanya, mewakafkan semua tanahnya dan hanya membawa tongkat, beliau menuju ke Madinah tanpa membawa sebarang bekal. Dengan izin Allah beliau selamat tiba tanpa merasa lapar.
Ibrahim bin Adham benar-benar mengabdikan dirinya kepada Allah sehingga menjadi salah seorang wali-Nya. Suatu ketika sedang beliau menjahit jubah buruknya di tepi sungai Tigris beliau ditanya oleh sahabatnya: “Engkau telah meninggalkan kemewahan kerajaan yang besar. Tetapi apakah yang engkau telah perolehi sebagai imbalannya?”
Disebabkan soalan yang tidak disangka-sangka itu keluar dari mulut sahabatnya sendiri maka dengan tiba-tiba jarum di tangannya terjatuh ke dalam sungai itu.
Sambil menunjukkan jarinya ke sungai itu Ibrahim berkata, “Kembalikanlah jarumku !”
Tiba-tiba seribu ekor ikan mendongakkan kepalanya ke permukaan air. Masing-masing ikan itu membawa sebatang jarum emas di mulutnya.
Ibrahim berkata: “Aku inginkan jarumku sendiri.”
Seekor ikan kecil yang lemah datang menghantarkan jarum besi kepunyaan Ibrahim di mulutnya.
“Jarum ini adalah salah satu di antara imbalan-imbalan yang ku perolehi, kerana meninggalkan kerajaan Balkh. Sedangkan yang lainnya belum tentu untuk kita, semoga engkau mengerti.” Kata Ibrahim Adham dengan penuh kiasan.
Begitulah kehidupan seorang raja Balkh yang bernama Ibrahim bin Adham yang luas pemerintahannya dan hidup di dalam kemewahan, tetapi akhirnya berkelana menjadi ahli sufi yang terkenal. Baginda menemui Allah Subhanahu wata’ala pada tahun 165H/782M di negeri Persia. Taubat Ibrahim itu merupakan sebuah kisah yang sangat unik bagi umat Islam yang ingin meniti kehidupan penuh dengan tipu daya di dunia ini. Wallahu ‘alam.
Sumber : Kitab Tazkirat al-Aulia karangan Imam Farid ad-Din Attar
KISAH IMAM GHAZALI DAN SEEKOR LALAT
Pada suatu ketika Imam al-Ghazali sedang menulis kitab. Pada zaman itu, orang menulis menggunakan cecair dakwat dan sebatang pena. Pena itu harus dicelupkan dulu kedalam dakwat baru kemudian dipakai untuk menulis, jika habis, dicelup lagi dan menulis lagi. Begitulah seterusnya.
Ditengah kesibukan menulis itu, tiba-tiba terbanglah seekor lalat dan hinggap di mangkuk dakwat Imam al- Ghazali. Lalat itu nampaknya sedang kehausan. Ia meminum cecair dakwat di mangkuk itu.
Melihat lalat yang kehausan, Imam al-Ghazali membiarkan saja lalat itu meminum dakwatnya tanpa menghalaunya. Lalat juga makhluk Allah yang harus diberikan kasih sayang, fikir Al-Ghazali.
Setelah Imam Ghazali wafat, selang beberapa hari kemudian,seorang Ulama yang merupakan sahabat dekat beliau bermimpi. Dalam mimpi itu terjadilah dialog. Sahabatnya bertanya, ” Wahai Hujattul Islam, Apa yang telah diperbuat Allah kepadamu? “.
Al-Ghazali menjawab, ” Allah telah menempatkanku di tempat yang paling baik “.
“Gerangan apakah sampai engkau ditempatkan Allah ditempat yang paling baik itu ? Apakah itu karena kealimanmu dan banyaknya kitab-kitab bermanfaat yang telah kau tulis?” tanya sahabatnya.
Al-Ghazali menjawab, ”Tidak, Allah memberiku tempat yg terbaik, hanya kerana pada saat aku menulis aku memberikan kesempatan kepada seekor lalat untuk meminum dakwatku kerana kehausan. Aku lakukan itu kerana aku sayang pada makhluk Allah. “
Dari kisah sufi tersebut memberi kita pengajaran bahawa seseorang itu masuk ke dalam syurga adalah semata-mata kerana rahmat Allah.Kisah ini juga membawa hikmah bahawa tidak ada salahnya jika kita menolong makhluk Allah. Bayangkan hanya sekadar membiarkan lalat yang kehausan untuk minum saja menjadikan sebab seseorang masuk syurga, apa lagi memberi makan kepada sesama manusia. Bersedekah bagi sesama yang benar-benar memerlukan.
ALLAH SENTIASA MENUTUP AIB HAMBANYA
Pada zaman Nabi Musa berlaku kemarau panjang. Nabi Musa bersama 70 ribu umatnya melakukan solat istisqa iaitu solat memohon agar Allah menurunkan hujan. Akan tetapi hujan masih tidak turun.umum mengetahui Nabi Musa digelar Kalimullah kerana boleh berbicara langsung dengan Allah.
Nabi Musa berbicara dengan Allah
"Ya Rabb, Engkau selalu memperkenankan doaku "
Allah menjawab antara kalian itu terdapat seseorang yang bermaksiat selama 40 tahun dn tidak pernah bertaubat.
Sejurus itu bertanya Nabi Musa akan para jemaah "Siapa antara kalian yang bermaksiat selama 40 tahun dan tidak pernah bertaubat . Diminta meninggalkan tempat ini kerana hujan tidak turun kerana orang ini "
Orang tersebut berasa bersalah kerana menjadi sebab hujan tidak turun. Maka berbicara dihatinya jika dia bangun meninggalkan tempat itu maka terbukalah didepan khalayak akan aib dirinya yang tersorok selama 40 tahun. Lalu dia pun mohon agar Allah mengampunkan dosanya dan menyesal diatas dosa_dosanya itu.
Tiba-tiba hujan pun mula turun. Nabi Musa kehairanan. Tiada yang mengaku dan meninggalkan tempat ini, tetapi Allah masih menurunkan hujan.
Lalu Nabi Musa bertanya kepada Allah. " Mengapa Engkau menurunkan hujan? "
ALLAH menjawab kerana telah bertaubat orang tersebut.
Nabi Musa bertanya kepada Allah, " Bolehkah aku ingin tahu siapakah orang itu? ".Allah menjawab, " Selama 40 tahun Aku tidak pernah membuka aibnya, adakah Aku akan membuka aibnya setelah dia bertaubat kepadaKu ".
Salah satu nama Allah ialah as-Sattar iaitu Maha Menutup Keaiban dan Keburukan .Jika Allah sendiri tidak mendedahkan aib hamba-hambaNya maka janganlah kita mendedahkan aib saudara kita. Dan jangan pula mendedahkan aib kita sendiri yang selama ini Allah telah tutup dari pengetahuan orang lain sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita, kerana Allah memberi peluang kepada kita untuk mengetuk pintu taubat-Nya.
KISAH AHLI GUSTI MENJADI WALI
Di kota Baghdad ada seorang yang mengaku dia adalah Sayyid (keturunan Rasulullah s.a.w.) yang sangat miskin dan mempunyai seorang anak gadis. Ia tidak mempunyai wang untuk mengahwinkan anak gadisnya itu. Oleh itu ia pun membuat satu pengumuman kepada orang ramai bahawa dia hendak beradu tenaga dengan ahli Gusti Negara (Junaid Al-Baghdadi). Dengan perintah raja, perlawanan pun dimulakan. Orang ramai terlalu bimbang sebab Saayyid tidak setanding dengan Junaid.
Sebelum perlawanan Sayyid berkata kepada Junaid:
“Wahai Junaid ! Aku tahu engkau adalah seorang ahli gusti yang perkasa. Aku tidak berupaya melawan engkau, tetapi keadaan memaksa aku mengambil keputusan ini. Wahai Junaid, dengarlah kata-kataku ini, aku adalah seorang Sayyid, aku terlalu miskin dan tidak mampu mengadakan majlis perkahwinan untuk anak perempuanku. Jika engkau sanggup memberi kemenangan kepadaku dan menerima kekalahan, dapatlah aku menggunakan hadiah-hadiah kemenangan itu untuk perkahwinannya. Sebagai balasannya aku akan memohon kepada datukku (Muhammad s.a.w.) agar memohon pengampunanmu di akhirat kelak.”
Kata-kata Sayyid sangat berkesan di jiwanya, dia pun bersetuju. Dalam perlawanan itu orang ramai menjadi terkejut apabila melihat Junaid tewas ditangan seorang yang lemah. Sayyid diberi hadiah dan anugerah oleh Khalifah.
Pada malam itu Junaid telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah saw, Baginda berkata kepadanya:
“Wahai Junaid! Engkau telah menghormati anak cucuku dan memuliakan darjat seseorang disebabkan ia mempunyai pertalian keturunan denganku dan tidak memperdulikan kedudukan serta kemuliaan dirimu dimata orang ramai. Kerana budimu yang mulia itu, engkau dilantik sebagai Sayyid Al-Tho’ifah (pemimpin ahli sufi).”
Bangun saja dari tidur, Junaid terus bertaubat dan sejak itu gigih bermujahadah mencari ilmu, beribadah dan melawan nafsu sehingga beliau menjadi pemimpin ahli ilmu dan tasawuf, dikenali sebagai Imam Junaid al-Baghdadi. Ini adalah keberkatan beliau memuliakan salah seorang ahli keluarga Rasulullah saw.
Subscribe to:
Posts (Atom)