Monday, 17 August 2015

SIAPAKAH ASIF BIN BARKHIYA?


Asif bin Barkhiya (آصف بن برخيا), Asif dengan huruf sod (ص) bukan sin (س). Beliau ialah anak saudara (belah perempuan) Nabi Sulaiman ASW atau sepupunya. Bertugas sebagai penulis di zaman pemerintahan Nabi Sulaiman ASW sekaligus menteri. Juga sebagai kawan rapat dan pengawal Nabi Sulaiman yang sentiasa mengikut ke mana Nabi Sulaiman pergi dan beliau antara perunding/jurucakap utama bagi kerajaan Nabi Sulaiman ASW.


Seorang yang soleh, abid dan dikatakan mengetahui Ismu Allah yang Maha Agung sehingga amat mustajab doanya. Setengah riwayat nama beliau ialah Astum (أسطوم), Yalikha (يليخا), Natura (ناطورا), Asaf (أساف), Barkiyah (بركية), dalam Ibrani disebut Benyahu (بنياهو). Manusia dari kaum Bani Israel bukan golongan jin.
Beliaulah yang memindahkan Istana Ratu Balqis dari Kerajaan Saba’, Yaman ke Palestin dengan doanya yang mengandungi Ismu Allah yang Maha Agung. Kisah ini dirakamkan dalam al-Quran, Surah al-Naml ayat 38-41:


قَالَ يَا أَيُّهَا الْمَلأ أَيُّكُمْ يَأْتِينِي بِعَرْشِهَا قَبْلَ أَنْ يَأْتُونِي مُسْلِمِينَ (٣٨) قَالَ عِفْريتٌ مِنَ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ تَقُومَ مِنْ مَقَامِكَ وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ (٣٩) قَالَ الَّذِي عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ (٤٠) قَالَ نَكِّرُوا لَهَا عَرْشَهَا نَنْظُرْ أَتَهْتَدِي أَمْ تَكُونُ مِنَ الَّذِينَ لا يَهْتَدُونَ (٤١)


Ertinya: Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu Yang dapat membawa kepadaKu singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku Dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” ۝berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum Engkau bangun dari tempat dudukmu, dan Sesungguhnya Aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”. ۝ berkata pula seorang Yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu Dalam sekelip mata!” setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisiNya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku Adakah Aku bersyukur atau Aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. dan (sebenarnya) sesiapa Yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa Yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana Sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ۝ Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): “Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat Adakah ia dapat mencapai pengetahuan Yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk Dalam golongan Yang tidak dapat mencapai pengetahuan Yang demikian”.۝

Mula-mula jin ifrit yang menawar diri tapi masih lambat kerana Asif menawar diri dengan kerlipan mata Nabi Sulaiman saja sudah sampai Istana Balqis. Ini menunjukkan bila mana seorang manusia itu menjadi seorang yang alim, soleh dan berilmu maka ia akan menjadi lebih hebat dari jin. Kisah ini boleh dirujuk dalam kitab tafsir yang menjelaskan orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah ialah Asif bin Barkhiya.
Tentang apakah doanya itu, kata Mujahid r.h:
يا ذا الجلال والإكرام.
Manakala Zuhri r.h berkata:
يا إلَهَنَا وَإلَهَ كُلِّ شَيْءٍ، إلَهًا وَاحِدًا، لا إله إلا أنت، اِئْتِنِي بِعَرْشِهَا.
Ertinya: Wahai Tuhan kam, tuhan kepada semua makhluk, tuhan yang esa, tiada tuhan selain Allah. Datangkan kepadaku istana Balqis.
Dari kisah ini juga dapat kita ambil pelajaran bahawa kadang-kadang dalam berdakwah memerlukan ‘izzah’ bukan mesti ‘undur-bersedia’, bukan semestinya ‘pantang mak datuk’. Dengan ‘izzah’ tertunduknya sebuah kerajaan kafir kepada kerajaan Islam Nabi Sulaiman ASW.
Balqis ialah Balqis binti Syarahil (بلقيس بنت شراحيل) yang memerintah Yaman pada kurun ke 10 sebelum Masehi dan menjadikan Saba’ sebagai ibu kotanya. Kerajaan ini menyembah matahari, melalui risikan salah seorang tentera Nabi Sulaiman iaitu burung hud-hud baginda Nabi mengetahui wujudnya kerajaan besar di Yaman Selatan. Sekarang masih terdapat puing-puing istana Balqis dan juga masih wujud golongan jin dari zaman Balqis menetap disana.

KISAH NABI ISA AS MENGHIDUPKAN MAYAT YANG TIDAK AMANAH


Semasa Nabi Isa berjalan di satu kawasan perkuburan, ia terdengar suara dari dalam satu kubur suara lelaki yang menjerit-jerit meminta tolong dan dalam kesakitan yang amat sangat. Nabi Isa ingin mengetahui apakah yang telah terjadi kepadanya Sebagaimana yang kita tahu nabi Allah Isa mempunyai mukjizat boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Maka nabi Allah Isa pun memohon doa kepada Allah SWT sambil menadahkan tangannya ke langit supaya menghidupkan lelaki tersebut.

Doanya dimakbul oleh Allah SWT, maka terbelah kubur itu dan keluarlah seorang lelaki yang sedang terbakar menjerit-jerit meminta tolong. Melihat akan keadaan lelaki tersebut, maka ditanya oleh nabi Isa kepada lelaki itu : Apakah kamu tidak sembahyang sehingga kamu diseksa sebegini. lelaki itu menjawab bahawa ia tidak meninggalkan sembahyang. ditanya lagi oleh nabi Isa : Adakah kamu tidak berpuasa lelaki itu menjawab : Saya berpuasa dan lelaki itu pun berkata sesungguhnya ia taat akan perintah Allah SWT. Maka ditanya oleh nabi Isa lagi : Apakah yang kamu lakukan sehingga kamu diseksa sebegitu rupa? Maka berceritalah lelaki itu : Saya bekerja sebagai penjual kayu api dan saya akan mencari kayu api di hutan dan menjualkannya kepada sesiapa yang hendak membelinya.

Maka pada suatu hari datanglah seorang pembeli menemuinya utk membeli kayu api lalu diberinya wang dan disuruhnya hantar ke rumahnya . Maka pergilah saya mencari kayu dihutan dan apabila sudah dapat seberkas kayu di ikatnya elok-elok dan pergi lah saya hendak menghantar ke rumah si pembeli itu.

Dipertengahan jalan, saya merasa lapar dan teruslah saya berhenti untuk makan. Selepas itu saya pun meneruskan perjalanan ke rumah pembeli kayu itu. Sedang saya berjalan, saya terasa ada sisa makanan yang terselit dicelah gigi saya. Maka dicuba berbagai cara mengeluarkannya dgn lidah tetapi tak berjaya. Kemudian dicubanya dengan menggunakan kukunya tetapi tak berjaya juga. Akhirnya saya pun dengan menggunakan kuku saya mencungkil kayu api yang dipikul itu utk dibuat mencungkil gigi.

Akhirnya dapatlah mengeluarkannya, lalu saya teruskan perjalanan dan setelah sampai ke rumah si pembeli itu, saya pun menyerahkan kayu api itu dan terus pulang. Oleh kerana saya tidak meminta halal akan kayu yang saya cungkil dengan kuku saya tu, maka saya diseksa selama 70 tahun sebagaimana yang tuan lihat. Saya menyangka Allah tidak melihat akan perkara yang sekecil ini. Wallahualam.

Sumber : Kitab At Tadzkirah Bi Ahwal Al Mauta Wa Umur Al Akhirah Karangan Imam Al Qurtubi.

KISAH WALI MENGHITUNG USIA DAN DOSA


Kisah seorang wali bernama Amiya yang ketika itu berusia 60 tahun. Beliau seorang yang terlalu banyak ibadahnya dan terlalu dekat dirinya dengan jalan agama. Kerana terlalu takut dengan dosa, wali ini benar-benar gelisah dengan usianya yang semakin tua. Dibenaknya sentiasa terfikir sudah bersediakan dia untuk bertemu Maha Penciptanya.

Lantas wali ini menghitung-hitung hari-hari dalam hidupnya, dan dia mendapati bahawa hari-hari dalam hidupnya sudah pun berjumlah 21,600 hari. Lantas dia berkata kepada dirinya sendiri.

"Celaka aku, sekiranya aku melakukan satu dosa sahaja setiap hari, bagaimana aku dapat melarikan diri dari timbunan 21,600 dosa?"

Dia pun memekik lalu rebah ke tanah. Ketika orang-orang lain datang untuk membangunkannya, mereka dapati dia telah meninggal dunia.

Sumber : Kitab Kimiyyah Al Sa'adah Karangan Imam Ghazali