Monday, 17 August 2015
SIAPAKAH ASIF BIN BARKHIYA?
Asif bin Barkhiya (آصف بن برخيا), Asif dengan huruf sod (ص) bukan sin (س). Beliau ialah anak saudara (belah perempuan) Nabi Sulaiman ASW atau sepupunya. Bertugas sebagai penulis di zaman pemerintahan Nabi Sulaiman ASW sekaligus menteri. Juga sebagai kawan rapat dan pengawal Nabi Sulaiman yang sentiasa mengikut ke mana Nabi Sulaiman pergi dan beliau antara perunding/jurucakap utama bagi kerajaan Nabi Sulaiman ASW.
Seorang yang soleh, abid dan dikatakan mengetahui Ismu Allah yang Maha Agung sehingga amat mustajab doanya. Setengah riwayat nama beliau ialah Astum (أسطوم), Yalikha (يليخا), Natura (ناطورا), Asaf (أساف), Barkiyah (بركية), dalam Ibrani disebut Benyahu (بنياهو). Manusia dari kaum Bani Israel bukan golongan jin.
Beliaulah yang memindahkan Istana Ratu Balqis dari Kerajaan Saba’, Yaman ke Palestin dengan doanya yang mengandungi Ismu Allah yang Maha Agung. Kisah ini dirakamkan dalam al-Quran, Surah al-Naml ayat 38-41:
قَالَ يَا أَيُّهَا الْمَلأ أَيُّكُمْ يَأْتِينِي بِعَرْشِهَا قَبْلَ أَنْ يَأْتُونِي مُسْلِمِينَ (٣٨) قَالَ عِفْريتٌ مِنَ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ تَقُومَ مِنْ مَقَامِكَ وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ (٣٩) قَالَ الَّذِي عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ (٤٠) قَالَ نَكِّرُوا لَهَا عَرْشَهَا نَنْظُرْ أَتَهْتَدِي أَمْ تَكُونُ مِنَ الَّذِينَ لا يَهْتَدُونَ (٤١)
Ertinya: Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu Yang dapat membawa kepadaKu singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku Dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum Engkau bangun dari tempat dudukmu, dan Sesungguhnya Aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”. berkata pula seorang Yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu Dalam sekelip mata!” setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisiNya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku Adakah Aku bersyukur atau Aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. dan (sebenarnya) sesiapa Yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa Yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana Sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): “Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat Adakah ia dapat mencapai pengetahuan Yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk Dalam golongan Yang tidak dapat mencapai pengetahuan Yang demikian”.
Mula-mula jin ifrit yang menawar diri tapi masih lambat kerana Asif menawar diri dengan kerlipan mata Nabi Sulaiman saja sudah sampai Istana Balqis. Ini menunjukkan bila mana seorang manusia itu menjadi seorang yang alim, soleh dan berilmu maka ia akan menjadi lebih hebat dari jin. Kisah ini boleh dirujuk dalam kitab tafsir yang menjelaskan orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah ialah Asif bin Barkhiya.
Tentang apakah doanya itu, kata Mujahid r.h:
يا ذا الجلال والإكرام.
Manakala Zuhri r.h berkata:
يا إلَهَنَا وَإلَهَ كُلِّ شَيْءٍ، إلَهًا وَاحِدًا، لا إله إلا أنت، اِئْتِنِي بِعَرْشِهَا.
Ertinya: Wahai Tuhan kam, tuhan kepada semua makhluk, tuhan yang esa, tiada tuhan selain Allah. Datangkan kepadaku istana Balqis.
Dari kisah ini juga dapat kita ambil pelajaran bahawa kadang-kadang dalam berdakwah memerlukan ‘izzah’ bukan mesti ‘undur-bersedia’, bukan semestinya ‘pantang mak datuk’. Dengan ‘izzah’ tertunduknya sebuah kerajaan kafir kepada kerajaan Islam Nabi Sulaiman ASW.
Balqis ialah Balqis binti Syarahil (بلقيس بنت شراحيل) yang memerintah Yaman pada kurun ke 10 sebelum Masehi dan menjadikan Saba’ sebagai ibu kotanya. Kerajaan ini menyembah matahari, melalui risikan salah seorang tentera Nabi Sulaiman iaitu burung hud-hud baginda Nabi mengetahui wujudnya kerajaan besar di Yaman Selatan. Sekarang masih terdapat puing-puing istana Balqis dan juga masih wujud golongan jin dari zaman Balqis menetap disana.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment