Friday, 26 February 2016

TAUBAT NASUHA SEORANG AHLI MAKSIAT


Diriwayatkan oleh Ka'ab al-Ahbar r.a. bahawa dalam kalangan Bani Israel dahulu, ada seorang lelaki yang kerap melakukan kemungkaran.

Ka'ab ialah seorang tabiin yang sangat alim tentang kitab Taurat dan al-Quran. Walaupun baru memeluk Islam pada zaman pimpinan Umar al-Khattab r.a., namun Umar r.a. amat menyenanginya kerana perkara-perkara yang diucapakan beliau selari dengan Islam.

Menurut cerita Ka'ab, pada suatu hari lelaki itu turun ke dalam sungai untuk mandi. Tiba-tiba dia terdengar suatu suara yang mengatakan kepadanya, "Hai Fulan! Apakah engkau tidak berasa malu? Bilakah kau akan bertaubat kepada Allah?"

Mendengar suara teguran dari sungai itu, dia berasa amat gelisah dan terus berazam untuk meninggalkan perbuatan kejinya itu. Dia berazam untuk bertaubat dengan taubat nasuha serta meninggalkan perbuatan dosa yang telah dilakukan. Beliau lantas melarikan diri ke sebuah gunung yang didiami oleh 12 orang ahli ibadah yang taat kepada Allah SWT. Dia mengambil keputusan untuk menyertai mereka dalam ibadah.

Musim kemarau yang panjang menimpa tempat mereka, menyebabkan mereka terpaksa mengambil keputusan untuk mencari kawasan ciri di bawah pergunungan itu. Tanpa disedari rupa-rupanya mereka telah sampai ke tempat lelaki itu ditegur kerana melakukan dosa. Oleh sebab bimbang pengalaman itu berulang semula, di meminta sahabat-sahabatnya agar meneruskan perjalanan mereka tanpanya.

Mereka bertanya, "Mengapa?" Dia menjawab, "Aku malu untuk ke sana kerana di situ ada seseorang yang mendedahkan tentang keaiban diriku sendiri sehingga aku menjadi malu dan bimbang jika dia melihatku sekali lagi."

Mereka akur tinggal di situ tanpa lelaki itu. Apabila berada di sungai tersebut kedengaranlah satu suara ghaib bertanya, "Ke mana perginya teman kamu? Apakah yang sedang dilakukan olehnya?" Jawab ahli-ahli ibadat itu, "Dia menyangka di sini ada orang yang akan menyebut-nyebut tentang kesalahannya menyebabkan di berasa malu lalu dia tidak menyertai kami."

"Subhanallah! Sekiranya salah seorang daripada kalian memarahi anaknya sendiri ataupun salah seorang daripada keluarganya, lalu individu itu meminta ampun kepadanya, tentulah dia dimaafkan. Sekarang ketahuilah oleh kamu semua bahawa kawanmu itu telah pun bertaubat daripada dosanya. Oleh sebab itu, pergilah kalian kepadanya dan khabarkan tentang perkara ini. Selepas ini kalian hendaklah beribadah kepada Allah di tepianku (sungai) ini."

Mendengar penjelasan yang dibuat oleh suara dari sungai, mereka lantas menyampaikan perkara tersebut kepada sahabat mereka. Lalu lelaki yang sebelumnya melakukan maksiat di kawasan itu kini berubah. Mereka terus berada di tepi sungai itu untuk beribadah dalam satu tempoh.

Selepas berlalu satu jangka masa, lelaki tersebut meninggal dunia. Suara itu sekali lagi memanggil-manggil ahli-ahli ibadat yang lain agar memandikan jenazah lelaki itu dengan air sungai itu.

Dia meminta agar dikebumikan berdekatan sungai itu agar kelak dia dibangkitkan berdekatan dengan sungai tersebut.

Mereka melakukan sebagaimana yang diminta. Selepas mengebumikan mereka berasa sedih yang teramat sangat lalu mereka menangis hingga keesokan harinya.

Allah SWT dengan rahmat-Nya telah menumbuhkan dua belas batang pokok sarwah berdekatan dengan kubur lelaki itu. Melihat tumbuhnya pokok-pokok berdekatan dengan kuburnya, maka mereka mendirikan tempat ibadah berhampiran dengan kawasan itu. Akhirnya mereka telah menetap di situ hingga individu yang terakhir dalam kumpulan itu meninggal dunia. Setiap daripada mereka dikebumikan berhampiran dengan sahabat-sahabat mereka.

Sumber : Kitab Al Bidayah Wan Nihayah Karangan Ibnu Kathir


No comments:

Post a Comment