Thursday, 15 January 2015

KISAH TERTOLAKNYA ZAKAT SA'LABAH BIN HATIB


Pada zaman Rasulullah, ada seorang lelaki bernama Sa’labah bin Hatib. Pekerjaannya ialah mengembala kambing. Kehidupannya cukup sederhana dan beliau seorang yang taat menunaikan ibadah dan selalu solat berjemaah bersama Rasulullah. 

Namun demikian, Rasulullah amat hairan melihat kelakuan Sa’labah. Setiap kali selesai solat dia segera bangkit dan pulang ke rumahnya. Padahal jemaah lain masih duduk berzikir dan berdoa bersama Rasulullah. 

Pada suatu hari, Rasulullah bertanya kepada Sa’labah."Hai Sa’labah, mengapa engkau sangat cepat bangkit dari dudukmu apabila selesai menunaikan solat bersama kami?". 

Sa’labah menjelaskan kepada Rasulullah, bahawa beliau hanya mempunyai sehelai kain sahaja untuk solat. Oleh itu beliau perlu cepat kembali kerumah supaya kain yang dipakainya itu pula dipakai pula oleh isterinya untuk solat. 

Walau bagaimanapun, di sebalik ketaatannya itu, Sa’labah ada menyimpan sedikit perasaan ingin menjadi kaya. Perasaan ingin kaya ini telah lama dipendam oleh Sa’labah didalam hatinya. 

Maka pada suatu hari, Sa’labah berjumpa Rasulullah dan beliau mangharapkan agar Rasulullah mendoakan kepada Allah supaya beliau beroleh kekayaan atau rezeki yang banyak. 

Mendengar permintaan Sa’labah itu, Rasulullah memandangnya dengan penuh kehairanan, lalu baginda bertanya, "untuk apa rezeki yang banyak itu wahai Sa’labah? Menurut pendapatku, lebih baik rezeki sederhana yang diberikan Allah daripada rezeki yang banyak tetapi menyusahkan kita kelak!", hujah Rasulullah. Sa’labah terdiam. 

Dia tidak menjawab pertanyaan Rasulullah itu. Dalam diamnya itu nafsu ingin kaya yang sudah lama tertanam dihatinya bukan semakin berkurang, tetapi semakin menjadi-jadi. 

Tidak lama selepas itu, Sa’labah menyampaikan permohonannya lagi kepada Rasulullah. 

Permintaannya kali ini disertai dengan alasan yang lebih kuat, antara lain Sa’labah berkata; "Kalau aku kaya kelak, kaum miskin dan melarat akan kuberi bantuan secukupnya, akan ku dirikan hospital, membangunkan rumah-rumah ibadah. Pendek kata, segala harta yang dikurniakan akan digunakan sebaik-baiknya demi keredhaan Allah," 

Mendengar ucapan Sa’labah yang bersunguh-sunguh itu maka Rasulullah mendoakan kepada Allah agar Sa’labah dikurniakan-Nya dengan harta yang banyak. 

Allah memakbulkan permintaan hamba dan Rasul-Nya. Rezeki Sa’labah makin bertambah. Kambing Sa’labah makin membiak dengan banyaknya. Semenjak kekayaanya bertambah, ibadatnya pun semakin berkurangan. 

Solat berjemaah tidak lagi dihadirinya. Ini disebabkan ia terlalu sibuk menguruskan kambing-kambingnya yang sudah ribuan banyaknya. 

Dulu sebelum beroleh harta kekayaan Sa’labah pernah berjanji kepada Rasulullah bahawa dia ingin menggunakan segala kekayaanya itu untuk berjuang ke jalan Allah tetapi dia tidak menepati janji. 

Rasulullah sering juga bertanya akan perihal Sa’labah kepada kawan-kawannya. Orang ramai menerangkan kepada Rasulullah bahawa Sa’labah keadaannya semakin teruk kerana beliau amat kedekut, bukan sahaja kedekut kepada orang lain bahkan kedekut kepada dirinya sendiri. 

Pada suatu hari turunlah ayat mewajibkan zakat kepada Nabi Muhammad S.A.W. Maka perintah zakat itu segera disampaikan oleh Rasulullah kepada segenap umat islam yang mampu tidak terkecuali Sa’labah. 

Ketika utusan Rasulullah sampai ke rumah Sa’labah, beliau tidak mempercayai utusan itu bahkan mencurigai Rasulullah sendiri. 

Padanya itu hanya peraturan Rasullullah kerana cemburu disebabkan kambingnya yang banyak yang mesti dizakatkan dan bukannya perintah Allah. 

Sa’labah tidak memperdulikan kata-kata utusan Rasulullah. Dia masih juga tidak mahu membayar zakatnya kerana disangkanya perintah menunaikan zakat itu adalah ciptaan Rasullullah sendiri. 

Maka utusan Rasullullah itu keluar dari rumah Sa’labah dengan perasaan hampa. Sedangkan apabila meminta pada orang kaya yang lain, mereka (orang kaya) memberikan zakat ternakan mereka dengan senang hati. 

Begitulah sifat Sa’labah setiap kali utusan Rasulullah datang. Ada-ada sahaja helah dan alasan yang dikemukakannya untuk mengelakkan dari membayar zakat. 

Pada masa itu, turunlah Firman Allah dan akhirnya dimaktubkan di dalam surah Al-Baqarah, ayat 75-78 yang bermaksud: 

"Diantara mereka, ada yang berjanji kepad Allah. Sekiranya aku diberi rezeki yang banyak, aku akan banyak memberi sedekah, aku akan menjadi orang yang soleh. Tetapi, setelah mereka memperolehi rezeki yang berlimpah ruah lalu mereka menjadi orang yang bakhil dan berpaling dari janjinya. Akhirnya mereka ditimpa penyakit munafik pada hari di mana mereka itu kembali kepada Allah disebabkan mereka mengingkari janjinya sendiri dan disebabkan 
kebohongan mereka. Apakah mereka tidak tahu, bahawa Allah itu Maha Mengetahui segala rahsia dan apa yang tersirat dalam hati mereka dan bahawa Allah itu mengetahui segala perkara ghaib?" 

Salah seorang daripada sahabat Sa’labah yang mengetahui turunnya ayat itu segera memberitahunya. Kata sahabat Sa’labah tersebut: "Berhati-hatilah engkau. Apakah kambing-kambingmu yang banyak itu akan engkau bawa ke mati? Dahulu engkau telah berjanji kepada Allah dan bukan hanya kepada Nabi Muhammad! Sa’labah sahabatku, zakat yang diminta oleh utusan Rasulullah itu bukanlah untuk baginda dan bukan pula baginda yang mengadakan hukum zakat itu". 
Mendengar penjelasan sahabatnya itu, membuatkan Sa’labah menjadi sedar akan kesalahan dan keangkuhannya selama ini. Sa’labah bukan sahaja insaf, malah dia merasa takut yang amat sangat. 

Tanpa berfikir panjang lagi. Sa’labah pergi kepada Rasulullah dengan membawa berpuluh-puluh ekor kambing untuk dizakatkannya. 

Tetapi Rasulullah hanya menggelengkan kepala sambil mengatakan bahawa baginda tidak menerima zakat itu, bahkan pintu zakat sudah tertutup bagi Sa’labah. 

Mendengar jawapan tersebut Sa’labah menangis sekuat-kuat hatinya. Dia memukul-mukul kepalanya seperti perbuatan orang gila. 

Dengan perasaan yang amat kecewa, takut dan malu yang amat sangat. Sa’labah kembali ke rumahnya dengan membawa kambing-kambingnya itu. 

Dalam hatinya penuh dengan penyesalan. Usaha sa’labah hendak menyerahkan zakat ternakannya tetap gagal. Hinggalah ke zaman pemerintahan Khalifah Utsman bin Affan iaitu selepas kewafatan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar. 

Beliau tetap dalam keadaan takut, kecewa dan menyesal kerana zakatnya tidak diterima lagi sedangkan ancaman Allah sudah turun yang ditujukan kepada orang-orang yang enggan membayar zakat. 

Sumber : Kitab "Tanwiru Fi Asqathit Tadbir" Karangan Syeikh Ibnu Attaillah As Sakandari

KISAH RAJA BERTAUBAT MENJADI SEORANG WALI


Dikisahkan bahawa Ibrahim Bin Adham bertaubat setelah berlaku satu peristiwa semasa beliau sedang berburu. Setelah begitu lama berada diatas kudanya, dia pun berhenti dan mengeluarkan bekalan makanan yang telah disediakan olehnya sebelum keluar berburu . Tiba-tiba datang seekor burung gagak menyambar rotinya dan terus terbang. Beliau terkaku melihat kejadian itu.

Melihat keadaan itu, Ibrahim Bin Adham pun menunggang kudanya semula dan terus mengejar burung gagak itu tadi. Burung gagak itu terus terbang ke gunung dan Ibrahim Bin Adham masih mengejarnya. Semasa mendaki gunung itu, beliau telah terserempak dengan seorang lelaki yang telah diikat tangan dan kakinya . Ibrahim Bin Adham berasa hairan dan terus bertanyakan kepada lelaki itu, " Bagaimana kamu boleh berkeadaan sebegini rupa?". Lelaki itu menjawab " Sebenarnya aku ini seorang pedagang yang telah dirompak . Mereka telah mencuri keseluruhan hartaku dan telah mengikat tangan dan kakiku. Aku ditinggalkan disini keseorangan dengan haus dan lapar. Setelah aku terseksa selama 7 hari , dengan izin Allah s.w.t seekor burung gagak telah dihantar olehNya. Burung ini selalu membawa makanan kepadaku , ia bertenggek diatas dadaku dan memotong roti dengan paruhnya dan menyuapkan ia kepadaku. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak membiarkan aku kelaparan "

Ibrahim Bin Adham terus merasa insaf dan bertaubat. Setelah pulang ke istananya, beliau terus menanggalkan pakaian kebesaran dan memerdekakan hamba-hambanya, mewakafkan semua tanahnya dan hanya membawa tongkat, beliau menuju ke Madinah tanpa membawa sebarang bekal. Dengan izin Allah beliau selamat tiba tanpa merasa lapar.

Ibrahim bin Adham benar-benar mengabdikan dirinya kepada Allah sehingga menjadi salah seorang wali-Nya. Suatu ketika sedang beliau menjahit jubah buruknya di tepi sungai Tigris beliau ditanya oleh sahabatnya: “Engkau telah meninggalkan kemewahan kerajaan yang besar. Tetapi apakah yang engkau telah perolehi sebagai imbalannya?”

Disebabkan soalan yang tidak disangka-sangka itu keluar dari mulut sahabatnya sendiri maka dengan tiba-tiba jarum di tangannya terjatuh ke dalam sungai itu.

Sambil menunjukkan jarinya ke sungai itu Ibrahim berkata, “Kembalikanlah jarumku !”

Tiba-tiba seribu ekor ikan mendongakkan kepalanya ke permukaan air. Masing-masing ikan itu membawa sebatang jarum emas di mulutnya.

Ibrahim berkata: “Aku inginkan jarumku sendiri.”

Seekor ikan kecil yang lemah datang menghantarkan jarum besi kepunyaan Ibrahim di mulutnya.

“Jarum ini adalah salah satu di antara imbalan-imbalan yang ku perolehi, kerana meninggalkan kerajaan Balkh. Sedangkan yang lainnya belum tentu untuk kita, semoga engkau mengerti.” Kata Ibrahim Adham dengan penuh kiasan.

Begitulah kehidupan seorang raja Balkh yang bernama Ibrahim bin Adham yang luas pemerintahannya dan hidup di dalam kemewahan, tetapi akhirnya berkelana menjadi ahli sufi yang terkenal. Baginda menemui Allah Subhanahu wata’ala pada tahun 165H/782M di negeri Persia. Taubat Ibrahim itu merupakan sebuah kisah yang sangat unik bagi umat Islam yang ingin meniti kehidupan penuh dengan tipu daya di dunia ini. Wallahu ‘alam.

Sumber : Kitab Tazkirat al-Aulia karangan Imam Farid ad-Din Attar 

KISAH IMAM GHAZALI DAN SEEKOR LALAT


Pada suatu ketika Imam al-Ghazali sedang menulis kitab. Pada zaman itu, orang menulis menggunakan cecair dakwat dan sebatang pena. Pena itu harus dicelupkan dulu kedalam dakwat baru kemudian dipakai untuk menulis, jika habis, dicelup lagi dan menulis lagi. Begitulah seterusnya.

Ditengah kesibukan menulis itu, tiba-tiba terbanglah seekor lalat dan hinggap di mangkuk dakwat Imam al- Ghazali. Lalat itu nampaknya sedang kehausan. Ia meminum cecair dakwat di mangkuk itu.

Melihat lalat yang kehausan, Imam al-Ghazali membiarkan saja lalat itu meminum dakwatnya tanpa menghalaunya. Lalat juga makhluk Allah yang harus diberikan kasih sayang, fikir Al-Ghazali.

Setelah Imam Ghazali wafat, selang beberapa hari kemudian,seorang Ulama yang merupakan sahabat dekat beliau bermimpi. Dalam mimpi itu terjadilah dialog. Sahabatnya bertanya, ” Wahai Hujattul Islam, Apa yang telah diperbuat Allah kepadamu? “.

Al-Ghazali menjawab, ” Allah telah menempatkanku di tempat yang paling baik “.

“Gerangan apakah sampai engkau ditempatkan Allah ditempat yang paling baik itu ? Apakah itu karena kealimanmu dan banyaknya kitab-kitab bermanfaat yang telah kau tulis?” tanya sahabatnya.

Al-Ghazali menjawab, ”Tidak, Allah memberiku tempat yg terbaik, hanya kerana pada saat aku menulis aku memberikan kesempatan kepada seekor lalat untuk meminum dakwatku kerana kehausan. Aku lakukan itu kerana aku sayang pada makhluk Allah. “

Dari kisah sufi tersebut memberi kita pengajaran bahawa seseorang itu masuk ke dalam syurga adalah semata-mata kerana rahmat Allah.Kisah ini juga membawa hikmah bahawa tidak ada salahnya jika kita menolong makhluk Allah. Bayangkan hanya sekadar membiarkan lalat yang kehausan untuk minum saja menjadikan sebab seseorang masuk syurga, apa lagi memberi makan kepada sesama manusia. Bersedekah bagi sesama yang benar-benar memerlukan.

ALLAH SENTIASA MENUTUP AIB HAMBANYA


Pada zaman Nabi Musa berlaku kemarau panjang. Nabi Musa bersama 70 ribu umatnya melakukan solat istisqa iaitu solat memohon agar Allah menurunkan hujan. Akan tetapi hujan masih tidak turun.umum mengetahui Nabi Musa digelar Kalimullah kerana boleh berbicara langsung dengan Allah.
Nabi Musa berbicara dengan Allah

"Ya Rabb, Engkau selalu memperkenankan doaku "
Allah menjawab antara kalian itu terdapat seseorang yang bermaksiat selama 40 tahun dn tidak pernah bertaubat.

Sejurus itu bertanya Nabi Musa akan para jemaah "Siapa antara kalian yang bermaksiat selama 40 tahun dan tidak pernah bertaubat . Diminta meninggalkan tempat ini kerana hujan tidak turun kerana orang ini "

Orang tersebut berasa bersalah kerana menjadi sebab hujan tidak turun. Maka berbicara dihatinya jika dia bangun meninggalkan tempat itu maka terbukalah didepan khalayak akan aib dirinya yang tersorok selama 40 tahun. Lalu dia pun mohon agar Allah mengampunkan dosanya dan menyesal diatas dosa_dosanya itu.

Tiba-tiba hujan pun mula turun. Nabi Musa kehairanan. Tiada yang mengaku dan meninggalkan tempat ini, tetapi Allah masih menurunkan hujan.
Lalu Nabi Musa bertanya kepada Allah. " Mengapa Engkau menurunkan hujan? "
ALLAH menjawab kerana telah bertaubat orang tersebut.
Nabi Musa bertanya kepada Allah, " Bolehkah aku ingin tahu siapakah orang itu? ".Allah menjawab, " Selama 40 tahun Aku tidak pernah membuka aibnya, adakah Aku akan membuka aibnya setelah dia bertaubat kepadaKu ".

Salah satu nama Allah ialah as-Sattar iaitu Maha Menutup Keaiban dan Keburukan .Jika Allah sendiri tidak mendedahkan aib hamba-hambaNya maka janganlah kita mendedahkan aib saudara kita. Dan jangan pula mendedahkan aib kita sendiri yang selama ini Allah telah tutup dari pengetahuan orang lain sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita, kerana Allah memberi peluang kepada kita untuk mengetuk pintu taubat-Nya.

KISAH AHLI GUSTI MENJADI WALI


Di kota Baghdad ada seorang yang mengaku dia adalah Sayyid (keturunan Rasulullah s.a.w.) yang sangat miskin dan mempunyai seorang anak gadis. Ia tidak mempunyai wang untuk mengahwinkan anak gadisnya itu. Oleh itu ia pun membuat satu pengumuman kepada orang ramai bahawa dia hendak beradu tenaga dengan ahli Gusti Negara (Junaid Al-Baghdadi). Dengan perintah raja, perlawanan pun dimulakan. Orang ramai terlalu bimbang sebab Saayyid tidak setanding dengan Junaid.

Sebelum perlawanan Sayyid berkata kepada Junaid:

“Wahai Junaid ! Aku tahu engkau adalah seorang ahli gusti yang perkasa. Aku tidak berupaya melawan engkau, tetapi keadaan memaksa aku mengambil keputusan ini. Wahai Junaid, dengarlah kata-kataku ini, aku adalah seorang Sayyid, aku terlalu miskin dan tidak mampu mengadakan majlis perkahwinan untuk anak perempuanku. Jika engkau sanggup memberi kemenangan kepadaku dan menerima kekalahan, dapatlah aku menggunakan hadiah-hadiah kemenangan itu untuk perkahwinannya. Sebagai balasannya aku akan memohon kepada datukku (Muhammad s.a.w.) agar memohon pengampunanmu di akhirat kelak.”

Kata-kata Sayyid sangat berkesan di jiwanya, dia pun bersetuju. Dalam perlawanan itu orang ramai menjadi terkejut apabila melihat Junaid tewas ditangan seorang yang lemah. Sayyid diberi hadiah dan anugerah oleh Khalifah.

Pada malam itu Junaid telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah saw, Baginda berkata kepadanya:

“Wahai Junaid! Engkau telah menghormati anak cucuku dan memuliakan darjat seseorang disebabkan ia mempunyai pertalian keturunan denganku dan tidak memperdulikan kedudukan serta kemuliaan dirimu dimata orang ramai. Kerana budimu yang mulia itu, engkau dilantik sebagai Sayyid Al-Tho’ifah (pemimpin ahli sufi).”

Bangun saja dari tidur, Junaid terus bertaubat dan sejak itu gigih bermujahadah mencari ilmu, beribadah dan melawan nafsu sehingga beliau menjadi pemimpin ahli ilmu dan tasawuf, dikenali sebagai Imam Junaid al-Baghdadi. Ini adalah keberkatan beliau memuliakan salah seorang ahli keluarga Rasulullah saw.

Monday, 10 November 2014

KISAH IMAM HASAN DENGAN PENYEMBAH API


Imam Hasan al-Basri dikenali sebagai Penghulu Tabi'in, beliau mempunyai jiran yang merupakan penyembah api yang bernama Sam'iun. Suatu hari Sam'iun jatuh sakit dan ajalnya hampir tiba. Sahabat-sahabat meminta agar Hasan sudi mengunjunginya. Akhirnya Hasan pun mendapatkan Sam'iun yang telah terbaring di tempat tidurnya dan badannya telah hitam disebabkan api dan asap.

Imam Hasan : "Takutlah kamu kepada Allah. Engkau telah mensia-siakan seluruh usiamu di tengah-tengah api dan asap."

Sam'iun : "Ada tiga perkara yang telah menghalangku untuk menjadi seorang muslim. Pertama adalah kenyataan kamu semua orang Muslim membenci dunia tapi siang dan malam mengejar harta kekayaan.

Kedua, kamu semua mengatakan bahawa mati adalah suatu kenyataan yang harus dihadapi namun tidak bersedia untuk menghadapinya.

Ketiga, kamu semua mengatakan bahawa wajah Allah akan dilihat, namun hingga saat ini masih melakukan segala yang tidak diredhai-Nya," jawab Sam'iun penyembah api.

Imam Hasan berkata : "Inilah ucapan dari manusia-manusia yang sungguh­ sungguh mengetahui. Jika setiap muslim berbuat begitu, apakah yang sepatutnya engkau katakan? Mereka mengakui keesaan Allah sedangkan engkau menyembah api selama tujuh puluh tahun, dan aku tidak pernah berbuat seperti itu. Jika kita sama-sama terseret ke neraka, api neraka akan membakar dirimu dan diriku.Tetapi jika diizinkan Allah, api tidak akan berani menghanguskan walau sehelai rambut pada tubuhku. Ini disebabkan api diciptakan Allah dan segala ciptaan-Nya tunduk kepada perintah-Nya. Walaupun engkau menyembah api selama tujuh puluh tahun, marilah kita bersama-sama menaruh tangan kita ke dalam api agar engkau dapat menyaksikan sendiri betapa api itu sesungguhnya tidak berdaya dan betapa Allah itu. Maha Kuasa,".

Setelah berkata demikian Hasan memasukkan tangannya ke dalam api. Namun sedikit pun tidak cedera atau terbakar. Melihatkan hal itu Sam'iun merasa hairan. Suatu ilmu baru telah diketahuinya.

Sam'iun : "Selama tujuh puluh tahun aku telah menyembah api, kini hanya dengan satu atau dua helaan nafas saja yang tinggal, apakah yang harus kulakukan?".

Imam Hasan : "Jadilah seorang Muslim," .

Sam'iun : "Jika engkau memberiku jaminan bahawa Allah tidak akan menghukum diriku, barulah aku menjadi muslim. dengan jaminan itu aku tidak mahu memeluk agama Islam," .

Hasan segera membuat satu surat jaminan.

Ramai orang-orang yang jujur di kota Basrah memberi kesaksian mereka di atas surat jaminan tersebut. Sam'iun menitiskan air mata dan menyatakan dirinya sebagai seorang Muslim. Kepada Hasan Dia berwasiat kepada Hasan, "Setelah aku mati, mandikanlah aku dengan tanganmu sendiri, kuburkanlah aku dan selitkan surat jaminan ini di tanganku. Surat ini akan menjadi bukti bahawa aku adalah seorang Muslim."

Setelah berwasiat demikian, ia mengucap dua kalimah syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mereka memandikan mayat Sami'un, mensolatkannya dan menguburkannya dengan surat jaminan di tangannya. Di malam harinya Hasan berbaring sambil merenungi apa yang telah di lakukannya itu. "Bagaimana aku dapat menolong seseorang yang sedang tenggelam sedang aku sendiri dalam keadaan yang serupa. Aku sendiri tidak dapat menentukan nasibku, tetapi mengapa aku berani memastikan apa yang akan dilakukan oleh Allah?"

Dalam keadaan memikirkan hal itu, Hasan terlena. Beliau bermimpi bertemu dengan Sam'iun, wajah cerah dan bercahaya seperti sebuah pelita; di kepalanya ada sebuah mahkota. Dia memakai sehelai jubah yang indah dan sedang berjalan-jalan di taman syurga.

"Bagaimana keadaanmu Sam'iun?" Tanya Hasan kepadanya.

"Mengapakah engkau bertanya padahal kau menyaksikan sendiri? Allah Yang Maha besar dengan segala kemurahan-Nya telah menghampirkan diriku kepada-Nya dan telah memperlihatkan wajah-Nya kepadaku. Pemberian yang dilimpahkan-Nya kepada ku melebihi segala-galanya. Engkau telah memberi ku surat jaminan,terimalah kembali surat jaminan ini kerana aku tidak memerlukannya lagi," jawab Sam'iun.

Ketika Imam Hasan terbangun ia mendapati surat itu telah berada di tangannya. Imam Hasan berseru, "Ya Allah, aku menyedari bahawa segala sesuatu Engkau lakukan adalah tanpa sebab kecuali kerana kemurahan-Mu semata. Siapakah yang akan tersesat di pintu-Mu? Engkau telah mengizinkan seseorang yang telah menyembah api selama tujuh puluh tahun lamanya untuk menghampiri-Mu, semata-mata kerana sebuah ucapan. Betapakah Engkau akan menolak seseorang yang telah beriman selama tujuh puluh tahun?".

Kisah ini menunjukkan bahwa kita tidak boleh memandang rendah dan hina kepada orang bukan Islam kerana mungkin saja kesudahan hidup mereka lebih baik dari kita. Semoga Allah kurniakan kita semua husnul khatimah.

Jika Allah hendak memberi hidayat kepada seseorang maka tiada siapa yang dapat menghalangnya.

"Adakah orang yang dilapangkan dadanya oleh Allah untuk Islam, sehingga dia mendapat cahaya dari Tuhannya, sama dengan orang yang keras hatinya ?"
(Surah Zumar; 22)

KISAH SYEIKH ABU YAZID AL BUSTHAMI DAN MAJUSI


Suatu ketika, Syeikh Abu Yazid al-Busthami sedang bersiap untuk ke masjid mengerjakan solat Zohor. Anak-anak muridnya sedang menunggu diluar rumahnya untuk mengiringinya ke masjid. Waktu sudah agak terlewat dan para makmum dan anak-anak muridnya yang lain sedang menunggu di masjid.

Apabila Syeikh Abu Yazid keluar, mereka semua bergegas ke masjid. Dalam perjalanan melalui lorong-lorong yang kiri kanannya adalah rumah-rumah yang diperbuat dari tanah, Syeikh Abu Yazid tersandung kakinya lalu ingin terjatuh namun sempat ditahan dengan tangannya ke tembok tanah disisinya supaya beliau tidak tersembam ke tanah. 

Beberapa debu tanah telah terjatuh dari tembok tersebut. Syeikh Abu Yazid bertanya milik siapa rumah ini. Anak muridnya menjawab ini adalah rumah seorang Majusi.

Abu Yazid : “ Aku ingin berjumpa dengannya sekarang “.

Murid : “ Tapi Tuan Guru, orang-orang sedang menunggu di masjid, selepas solat insyallah kita segera ke sini semula untuk berjumpa dengannya “.

Abu Yazid : “ Adakah engkau dapat menjamin kepadaku bahawa aku dapat hidup selepas solat untuk meminta mmaf dari Majusi ini ?”.

Murid “ Maafkan saya Tuan Guru, saya tak dapat memberi jaminan tersebut kerana ajal hidup seseorang hanya di Tangan Allah “.

Abu Yazid : “ Kalau begitu , mari kita jumpa Majusi ini sekarang “.


Mereka mengetuk pintu rumah Majusi tersebut , dia pun keluar, Syeikh Abu Yazid menceritakan apa yang terjadi dan meminta maaf dan minta dihalalkan untuk beberapa debu tanah yang digugurkan secara tidak sengaja dan memintanya untuk menyatakan berapa ganti rugi yang perlu di bayar jika dia inginkannya.

Majusi itu terkejut sebentar lalu berkata , “ Adakah agama kamu mengajar untuk meminta maaf walau untuk beberapa debu tanah ?!”.


Abu Yazid : “ Ya, agama kami mengajar yang demikian, jika tidak ,di akhirat nanti kami akan dituntut kerana menzalimi hak orang lain ketika didunia “.

Majusi itu menangis dan berkata “ Sungguh indah agamamu ini, hulurkan tanganmu wahai Syeikh, aku ingin masuk Islam “.


Rupa-rupanya , ketika itu keluarga Majusi itu mendengar perbualan mereka dari dalam rumah. Mereka semua keluar dan menyatakn bahwa mereka juga ingin masuk Islam.

Lihatlah akhlak yang ditunjukkan oleh Syeikh Abu Yazid menyebabkan seluruh keluarga si Majusi memasuki Islam. Disebabkan kejujurannya meminta maaf dari beberapa debu tanah yang dijatuhkannya dari tembok orang lain telah menyinarkan cahaya keimanan kepada orang yang tidak beriman.

Pada hari ini, akhlak seperti ini susah didapati malah pada zaman ini bukan saja debu tanah tapi ada orang sanggup mengambil berekar-ekar tanah tanpa hak untuk dirinya sambil ketawa berekah-dekah tanpa rasa cemas dan takut kepada Allah.

Sabda Nabi saw “Barang siapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka Allah akan mengalungkan tujuh bumi kepadanya." (Bukhari, Muslim)