Saturday, 19 April 2014
ABU HURAIRAH R.A MENANGKAP SYAITAN
Abu Hurairah r.a. pernah ditugaskan oleh Rasulullah s.a.w. untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadhan. Tiba-tiba munculah seseorang, lalu mencuri segenggam makanan. Namun Abu Hurairah berjaya menangkapnya.
“Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah s.a.w.,” gertak Abu Hurairah. Bukan main takutnya pencuri itu mendengar ancaman Abu Hurairah, sehingga dia merayu : “Saya ini orang miskin, keluarga tanggungan saya ramai dan saya sangat memerlukan makanan.”Maka pencuri itu pun dilepaskan.
Keesokan harinya, Abu Hurairah melaporkan kepada Rasulullah s.a.w. Maka bertanyalah beliau : “Apa yang dilakukan kepada tetamu semalam, ya Abu Hurairah?” Dia mengeluh, “Ya Rasulullah, dia seorang miskin, keluarganya ramau dan sangat memerlukan makanan,” jawab Abu Hurairah. Lalu diterangkan pula olehnya, bahawa ia kasihan kepada pencuri itu, lalu dilepaskannya.
“Dia berbohong ” kata Nabi Muhammad s.a.w.: “Pada waktu malam nanti dia akan datang lagi.”
Kerana Rasulullah s.a.w. berkata begitu, maka penjagaannya diperketatkan, dan kewaspadaan pun dipertingkatkan.
Dan, benar sekali pencuri itu kembali lagi, lalu mengambil makanan seperti semalam. Kali ini dia juga tertangkap. “Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah s.a.w.,” ugut Abu Hurairah, sama seperti malam sebelumnya. Dan pencuri itu pun sekali lagi meminta ampun : “Saya orang miskin, keluarga saya ramai. Saya berjanji esok tidak akan kembali lagi.”
Kasihan juga rupanya Abu Hurairah mendengar keluhan orang itu, dan kali ini pun dia dilepaskan. Pada paginya, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah s.a.w., dan beliau pun bertanya seperti kelmarin. Dan setelah mendapat jawapan yang sama, sekali lagi Rasulullah s.a.w. menegaskan : “Pencuri itu bohong, dan malam nanti dia akan kembali lagi.”
Malam itu Abu Hurairah berjaga-jaga dengan lebih berwaspada. Diperhatikannya dengan teliti setiap gerak-geri disekelilingnya sudah dua kali ia dibohongi oleh pencuri. Jika pencuri itu benar-benar datang seperti diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w. dan dia berjaya menangkapnya, ia telah bertekad tidak akan melepaskannya sekali lagi. Hatinya sudah tidak sabar lagi menunggu-nunggu datangnya pencuri jahanam itu. Beliau kesal. Kenapa pencuri semalam itu dilepaskan begitu sahaja sebelum diseret ke hadapan Rasulullah s.a.w.?
Malam semakin larut, jalanan sudah sepi, ketika tiba-tiba muncul bayangan yang datang menghampiri longgokan makanan yang dijaganya. “Benar, dia datang lagi,” katanya dalam hati. Dan tidak lama kemudian pencuri itu telah bertekuk lutut di hadapannya dengan wajah ketakutan.
Diperhatikannya benar-benar wajah pencuri itu. Ada semacam kepura-puraan pada gerak-gerinya. “Kali ini kau pastinya ku adukan kepada Rasulullah s.a.w.. Sudah dua kali kau berjanji tidak akan datang lagi ke mari, tapi ternyata kau kembali juga. Lepaskan saya,” pencuri itu memohon. Tapi, dari tangan Abu Hurairah yang menggenggam erat-erat dapat difahami, bahawa kali ini ia tidak akan dilepaskan lagi.
Maka dengan rasa putus asa ahirnya pencuri itu berkata : “Lepaskan saya, saya akan mengajar tuan beberapa kalimah yang sangat berguna.”
“Kalimah-kalimah apakah itu?” Tanya Abu Hurairah dengan rasa ingin tahu. “Bila tuan hendak tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Maka tuan akan selalu dipelihara oleh Allah, dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai pagi.” Maka pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah.
Dan keesokan harinya, ia kembali menghadap Rasulullah s.a.w. untuk melaporkan pengalamannya yang luar biasa tadi malam. Ada seorang pencuri yang mengajarinya kegunaan ayat Kursi. “Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?” tanya Rasulullah s.a.w. sebelum Abu Hurairah sempat menceritakan segalanya. “Dia mengajarku beberapa kalimah yang katanya sangat berguna, lalu ia saya lepaskan,” jawab Abu Hurairah.
“Kalimah apakah itu?” tanya Nabi Muhammad s.a.w.. Katanya : “Kalau kamu tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Dan ia katakan pula : “Jika engkau membaca itu, maka engkau akan selalu dijaga oleh Allah, dan tidak akan didekati syaitan hingga pagi hari.”
Mendengar cerita Abu Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w. berkata, “Pencuri itu telah berkata benar, sekalipun sebenarnya dia tetap seorang pendusta.” Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bertanya pula : “Tahukah kamu, siapa sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu tiap malam itu?” “Entahlah.” Jawab Abu Hurairah. “Itulah syaitan.” jawab Nabi Muhammad s.a.w.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment