Tuesday 15 July 2014

KEIMANAN SEORANG WANITA CANTIK DAN TAUBAT TUKANG BESI


Ketika si tukang besi sedang duduk di rumahnya melepas lelah setelah seharian bekerja, tiba-tiba terdengar pintu rumahnya diketuk orang. Si tukang besi keluar untuk melihatnya, dia terpandang seorang wanita cantik yang tidak lain adalah jirannya.

“Saudaraku, aku menderita kelaparan. Jika bukan kerana tuntutan agamaku yang menyuruh untuk memelihara jiwa (hifdz al-Nafs), aku tidak akan datang ke rumahmu. Mahukah engkau memberikan makanan padaku kerana Allah?” Tutur wanita itu.

Ketika itu, memang tengah datang musim kemarau. Sawah dan ladang mengering. Tanah pecah berbongkah-bongkah. Padang rumput menjadi tandus hingga haiwan ternak menjadi kurus dan akhirnya mati. Sumber makanan menjadi sangat sukar diperolehi kelaparan melanda sebahagian besar penduduk desa itu. Hanya sebahagian kecil yang masih dapat bertahan.

“Tidakkah engkau tahu bahawa aku mencintaimu? Akan kuberi engkau makanan, tetapi engkau harus melayaniku semalam,” kata tukang besi itu. Si tukang besi memang jatuh hati kepada jirannya itu. Dia merayunya dengan berbagai cara dan taktik, namun tidak juga berhasil meluluhkan hati wanita itu.
“Lebih baik mati kelaparan daripada menderhaka kepada Allah,” ujar wanita itu lagi sambil berlalu menuju rumahnya.

Setelah dua hari berlalu, wanita itu kembali mendatangi rumah si tukang besi dan mengatakan hal yang sama. Demikian pula jawaban si tukang besi.
Ia akan memberi makanan asalkan wanita itu mahu menyerahkan dirinya. Mendengar jawaban yang sama, wanita itu pun kembali ke rumahnya.

Dua hari kemudian, wanita itu datang lagi ke rumah tukang besi itu dalam keadaan payah. Suaranya garau, matanya sayu, dan punggungnya membongkok kerana menahan lapar yang tiada tara. Ia kembali mengatakan hal serupa. Begitu pula jawaban si tukang besi, sama dengan yang sudah-sudah. Wanita itu kembali ke rumahnya dengan tangan kosong untuk kali ketiga.

Ketika itulah, Allah memberikan hidayah-Nya kepada si tukang besi. “Sungguh celaka aku ini, seorang wanita mulia datang kepadaku, dan aku terus berlaku zalim kepadanya,” tutur tukang besi dalam hatinya. “Ya Allah aku bertaubat kepada-Mu dari perbuatanku dan aku tidak akan mengganggu wanita itu lagi selamanya.”

Si tukang besi itu bergegas mengambil makanan dan pergi ke rumah wanita itu. Diketuknya pintu rumah wanita itu. Tak lama berselang, terlihat pintu terbuka dan muncullah wanita cantik itu yang kelihatan kuyu. Melihat si tukang besi berdiri di depan pintu rumahnya, wanita itu bertanya, “Apa keperluanmu datang ke rumahku?”
“Aku bermaksud mengantarkan sedikit makanan yang aku punya. Jangan khuatir, aku memberinya kerana Allah,” jawab si tukang besi itu.

“Ya Allah, jika benar apa yang dikatakannya, maka haramkanlah ia dari api di dunia dan akhirat,” tutur wanita itu seraya menadahkan kedua tanganya ke langit. Si tukang besi itu pulang ke rumahnya. Ia memasak makanan yang tersisa buat dirinya. Tiba-tiba secara tak sengaja bara api mengenai kakinya, namun kaki si tukang besi itu tidak terbakar. Bergegas ia menemui wanita itu lagi.

“Wahai wanita yang mulia, Allah telah mengabulkan doamu,” ujar si tukang besi lalu menceritakan apa yang telah terjadi. Seketika mendengar cerita tukang besi itu, wanita itu terus melakukan sujud syukur kepada Allah. Wanita itu pun berpulang ke Rahmatullah dalam keadaan sujud.

No comments:

Post a Comment