Tuesday 1 July 2014

SIRAH NABI : NAILAH AL-FARAFISYAH ISTERI KHALIFAH UTHMAN BIN AFFAN


Dia seorang wanita yang cantik dan baik akhlaknya, isteri Khalifah Uthman bin Affan, Nailah Al-Farafisyah. Seorang isteri yang ikhlas, setia dan taat pada suami. Meskipun Nailah bukannya dari golongan wanita Quraisy malah mempunyai ayah yang menganut agama nasrani, namun dia tetap menonjol dari kalangan muslimah ketika itu kerana kelebihan kecantikkan, kebijaksanaan, kefasihan lidah serta kematangan fikirannya. Nailah hidup di rumah Khalifah Uthman dengan penuh penghormatan. 


Ketika pengepungan selama 50 hari di rumah Khalifah Uthman, orang yg tidak berengang daripada Khalifah Uthman ialah Nailah. Kaum pemberontak tidak henti-henti melempar rumah Khalifah dengan batu-batu dan panah. Tiga orang telah terbunuh. Meskipun telah membuat perjanjian bertulis kepada orang ramai supaya jangan berbuat sesuatu terhadap Khalifah, namun masih ada dua orang yang melanggar perintah itu.


Ketika pemberontak melepasi tali pagar rumah Khalifah dan memanjat dengan tali itu,Nailah menjenguk di tingkap sehingga terurai rambutnya yang ikal. Khalifah menegurnya "Nailah, tutuplah rambutmu itu dengan kain tudung, sesungguhnya rambutmu itu lebih besar nilainya padaku daripada nyawaku." Nailah sudah tidak mendengar kata-kata Khalifah, yang penting baginya ketika itu adalah melindungi suaminya.


Selepas itu 3 pimpinan Khawarij masuk di mana Ghafiqi telah memukul Sayyidina Uthman dengan besi dan menyepak al-Quran yang dibaca olehnya. Al-Quran itu terus terbuka dan tetap berada di tangan Sayyidina Uthman sehingga darah yang mengalir dari muka Sayyidina Uthman terkena ayat 137 surah al-Baqarahyang berbunyi:

………….فسيكفيكهم الله وهو السميع العليم
Maksudnya :Maka cukuplah Allah bagi kamu daripada kejahatan mereka dan Dialah Tuhan Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. 

Kemudian datang pula Sudan lalu dilibas pedangnya ke arah Sayyidina Uthman tetapi isterinya Nailah menahannya sehingga pedang itu telah memutuskan jari isteri Sayyidina Uthman itu. Sudan yang hilang peri kemanusian terus menetak Sayyidina Uthman beberapa kali sehingga beliau gugur syahid. 2 anak Sayyidina Uthman iaitu Najih dan Sobih turut gugur syahid dibunuh ketika membunuh pembunuh ayah mereka. Kewafatan Sayyidina Uthman sebelum Maghrib hari Jumaat 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah dalam usia 83 tahun. Jasad enam orang termasuk jenazah Sayyidina Uthman dituntut daripada pemberontak pada malam tersebut manakala 3 mayat pemberontak pula dibuang di dalam kebun sehingga dimakan oleh anjing. Para muslimin begitu sedih dengan kewafatan Sayyidina Uthman dan para sahabat melaknat para pemberontak yang melakukan kekacauan dan pembunuhan kejam itu.


Berita kematian Khalifah tersebar luas. Dan peristiwa inilah yang mencetus perselisihan antara Saidina Ali dan Muawiyah yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa umat islam. Nailah telah menghantar sepucuk surat kepada Muawiyah yang berbunyi "Jika dua golongan dari kaum itu berperang, hendaklah kamu damaikan antara keduanya. Dan jika yang satu dari keduanya melanggar perjanjian kepada yang lain, maka perangilah yang melanggar perjanjian itu sehingga mereka kembali kepada Allah."Nailah menghantar surat itu bersama pakaian Khalifah Uthman yang telah koyak dan berlumuran darah. Dia turut mengirimkan lima jari yang terpotong. Walaupun telah beberapa lama kematian suami, kesedihan tetap menyelubungi hatinya. Kesedihan Nailah tidak pernah putus sehinggalah Muawiyah meminangnya. Nailah menolak dan mematah-matahkan giginya sehingga orang lain bertanya, "Mengapakah kamu mematah-matahkan gigi mu yang cantik itu?" Lalu Nailah menjawab, "Aku tidak mahu kesedihanku pada Uthman menjadi pudar sebagaimana pudarnya kain-kain buruk dan aku tidak mahu lelaki lain mengetahui apa yang ada pada diriku, sebagaimana diketahui oleh Uthman".


Sebagai seorang sasterawan dan penyair, Nailah banyak mengubah sajak dan syair yang diabadikan buat suaminya. Dia menolak perkahwinan selepas perginya Saidina Uthman. Dia tetap setia meskipun selepas kematian Khalifah. Dialah wanita yang sanggup mengorbankan apa sahaja untuk perjuangan suaminya. 

No comments:

Post a Comment