Sunday 8 March 2015

KISAH IMAM ABU AL-WAFA’ DALAM MENJAGA WAKTU


Imam Abu al-Wafa’ pernah berkata: Tidak boleh untukku persiakan setiap detik kuniaan yang Maha Esa buatku, hatta kalaulah lidahku kelu untuk meneruskan hafalan dan mataku penat menatapi patah tulisan, aku akan berusaha menggerakkan fikiranku dengan memikirkan sesuatu cadangan maupun permasalahan, aku tidak akan berasa lega dan berpuas hati melainkan setelah aku mendapati jalan penyelesaiannya.

Aku juga mendapati, kesusahan menghadapi ilmu ini pada usiaku lapan puluhan lebih daripada usiaku dua puluhan. Aku juga berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan masa makanku, kadangkala aku hanya memadai dengan sepotong kek dan seteguk air sejuk. Sehingga aku dapat meluangkan semaksima masa yang mungkin untuk ilmu pengetahuanku. 

Sesungguhnya harta yang paling berharga di sisi ulama ialah waktu dan ilmu. Kerana waktu itu tidak akan menunggu seseorang sebaliknya tanggungjawab yang datang bertandang pula bertindan-tindan.

Setelah tiba saat kewafatan beliau, ada wanita menangis kerana tidak mahu terpisah daripada insan tersayang, tetapi beliau dengan tenang berkata: “Sesungguhnya aku takut berbuat dosa pada Tuhan Yang Rahman selama lima puluh tahun. Kerana selama masa tersebut aku telah mengeluarkan fatwa-fatwa yang mungkin tidak bertepatan dengan kehendak Allah. Maka doakanlah agar aku diampuni-Nya.”

Beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan apa-apa pesaka melainkan kitab-kitabnya yang banyak serta beberapa helai pakaian yang hanya cukup untuk dijadikan kain kafan serta membayar segala hutang-hutangnya. 

Lihatlah betapa agungnya pengorbanan seorang hamba terhadap tuhannya yang Esa. Walaupun telah banyak mengorbankan masanya demi kepentingan agama, tapi masih tidak berpuas hati, masih lagi takut seksa Ilahi. Tapi kita, apakah yang kita cari? Renungilah perbuatan-perbuatanmu wahai diri.

No comments:

Post a Comment