Sunday 8 March 2015

KISAH IMAM ABU YAZID DAN PADERI


Imam Abu Yazid Al Bustomi merupakan seorang ahli Sufi yang dikejutkan oleh mimpinya supaya pergi ke gereja Samaan. Tiga kali mimpinya itu berulang. Lalu ia bersiap dengan pakaian dan cara yang diberitahu dalam mimpinya.

Beliau masuk ke gereja Samaan tanpa diketahui oleh paderi-paderi yang hadir. Dia bersama-sama paderi lain menanti kedatangan ketua paderi. Setelah ketua paderi datang, ketua paderi itu tidak dapat berucap, lidahnya tiba-tiba kelu. Dia tahu ada orang lain, orang Islam di dalam gereja itu. Katanya, ” Ada orang yang percaya kepada Syariat Muhammad di dalam gereja ini.”

Semua paderi menjadi gempar dan mereka menghendaki orang itu di bunuh. Namun ketua paderi mencegahnya, sebaliknya ketua paderi meminta orang itu bangun supaya mereka dapat mengenalinya. Abu Yazid Al-Bustomi pun bangun, tanpa rasa takut.

Ketua paderi berkata, “Wahai pengikut Muhammad, saya akan mengajukan pertanyaan kepada kamu. Jika kamu dapat menjawab semuanya dengan benar, maka saya akan mengikuti agama kamu. Namun jika kamu tidak dapat menjawabnya, maka kami akan membunuhmu.”

Jawab Abu Yazid, “Baiklah! Tanyakan apa saja yang kamu ingin tanyakan.”

Ketua paderi itu mengemukakan 50 pertanyaan bertubi-tubi dan kemudian Abu Yazid menjawabnya dengan tepat.

Kata Abu Yazid, “Saya sudah jawab semua pertanyaan tuan. Sekarang apakah ada lagi pertanyaan-pertanyaan yang lain?”
Semua pendeta menjawab, “tidak ada lagi,”

Kemudian Abu Yazid mengemukakan pertanyaan kepada mereka. “Beritahu saya kunci Syurga dan langit.”

Tidak seorang pun yang dapat menjawabnya dan mereka mengaku bahawa memang mereka tidak tahu jawapannya . Baru satu pertanyaan sudah tidak dapat dijawab sedangkan Abu Yazid telah menjawab berpuluh pertanyaan. Mereka meminta ketua paderi menjawab, namun dia membisu.

Katanya, “Bukan saya tidak mahu menjawab, tetapi saya takut kamu semua tidak sependapat.”

Mereka hairan mendengar kata-kata ketua paderi itu. Akhirnya mereka mendesak juga dan bersedia untuk menyetujui serta menerima ap saja kata-kata ketua mereka.

Kemudian ketua Paderi menjawab “Bahwa kunci Syurga dan Kunci langit itu tidak lain ialah 
“LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH.” 

Mereka semua tersentak, terdiam. Lalu Abu Yazid berkata, “Memang benar kata ketua kamu ini".Abu Yazid menuntut janji kepada ketua paderi dan persetujuan pengikut-pengikutnya.

Ketua paderi berkata “Sahabat-sahabat sekalian percayalah bahawa apa yang saya ceritakan ini adalah benar. Saya tidak dipaksa oleh siapapun dalam mengucapnya. Memang sudah lama saya fikirkan hendak menyampaikan masalah ini kepada sahabat-sahabat semua, tetapi saya bimbang sahabat-sahabat tidak akan percaya kepada saya lagi. Saya hanya menunggu waktu.”

“Dari mana tuan mengetahui perkara ini?” Tanya salah seorang paderi.

“Dari ketua sebelum saya.” Jelas ketua paderi.

“Sebelum ketua itu meninggal dunia dia telah bersumpah bahwa perkara yang dikatakan itu adalah benar.” Sambung ketua paderi itu.

“Kalau begitu, apa lagi yang kita tunggu!” Ketua paderi dan pengikut-pengikutnya semuanya memeluk Islam disebabkan oleh Abu Yazid. Ilmu Abu Yazid telah menyelamatkan daripada maut. Ilmu ketua paderi telah menyelamatkan daripada kesesatan dan ilmu kedua-duanya telah menutup tabir kejahilan dan menyingkap tabir kebenaran dan Islam!

Berikut ini antara pertanyaan Ketua Paderi dan jawapan Abu Yazid Al-Bustami

1. Apakah satu tidak ada duanya.
Kewujudan Allah Maha Esa. Dia Tuhan yang tunggal tiada sekutu bagiNya.

2. Apakah dua tiada tiganya.
Malam dan siang. Apabila pergi malam datanglah siang dan apabila pergi siang datanglah malam.

3. Apakah tiga tiada empatnya.
Kursi, Kalam dan Arash Allah Hu Subhanahu Wa Ta’ala.

4. Apakah empat tiada limanya.
Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.

5. Apakah lima tiada enamnya.
Islam telah memfardhukan solat lima waktu : Zohor, Asar, Maghrib, Ishak dan Subuh.

6. Apakah enam tiada tujuhnya.
Hari-hari Allah telah menciptakan langit dan bumi. Ini semua tersebut di dalam Kitab-kitab suci juga.

7. Apakah tujuh tiada lapannya.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang disebut di dalam Kitab Suci juga.

8. Apakah lapan tiada sembilannya.
Bilangan Malaikat yang memikul Arash Allah Taala yang disebutkan di dalam Kitab Suci (ertinya) : Dan akan memikul Arash Tuhan kamu pada hari (Kiamat) itu adalah lapan Malaikat.

9. Apakah sembilan tiada sepuluhnya.
Bilangan kaum daripada golongan manusia yang menjadi kerosakan bumi Allah, sebagaimana yang tersebut di dalam Kitab Suci (ertinya) : Di dalam kota itu dahulu terdapat sembilan kumpulan yang menjadi perosak bumi, mereka tidak pernah melakukan yang baik.

10. Apakah sepuluh yang sempurna.
Kewajipan puasa sepuluh hari ke atas orang yang berihram haji sebagaimana firman Allah Taala (ertinya): Maka hendaklah ia (orang yang berihram haji) berpuasa tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah balik ke negerinya. Itulah dia sepuluh yang sempurna.

11. Apakah sebelas bukan dua belas .
Saudara-saudara Nabi Yusof AS.

12. Apakah dua belas bukan tiga belas.
Bilangan bulan dalam setahun.

13. Apakah tiga belas bukan empat belas.
Mimpi Nabi Yusof AS yang tersebut di dalam Kitab Suci: Sesungguhnya Aku melihat sebelas bintang, matahari dan bulan. Jumlahnya tiga belas.

14. Orang yang berdusta,kemudian dapat masuk Syurga.
Mereka ialah saudara-saudara Nabi Yusof AS. Mereka memberitahu ayah mereka Nabi Yaakob AS bahawa Yusof telah di makan serigala. Mereka membawa pakaiannya yang dilumur dengan darah kambing. Perkara yang mereka lakukan itu adalah suatu dusta.

15. Orang yang benar, tetapi mereka dimasukkan ke dalam neraka.
Mereka ialah kaum Yahudi dan Nasrani, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Telah berkata Kaum Yahudi, kaum Nasrani itu tidak benar dan berkata kaum Nasrani pula kaum Yahudi itu tidak benar. Kedua-dua kaum itu berkata benar pada tuduhan mereka antara satu dengan lain, namun mereka tidak mahu tunduk kepada kebenaran yang ada di hadapan mereka iaitu mempercayai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai agama yang sebelumnya. Lantaran itu mereka menduduki neraka.

16. Tempat roh dalam badan manusia.
Roh berada di dalam tubuh badan manusia yang hanya diketahui hakikatnya oleh Allah Taala kerana roh adalah merupakan urusan Allah Taala jua, berdasarkan firmannya (ertinya) : Katakan roh itu dari perkara urusan Tuhanku.

17.Apakah makhluk yang tidak bernyawa tapi tawaf Ka'bah.
Bahtera Nabi Nuh ketika bah, apabila melalui diatas Ka'bah, telah bertawaf diatas air 7 pusingan.

18. Apakah makhluk yang tak bernyawa tapi ia bernafas ?
Waktu Subuh kerana firman Allah "Was subhi iza tanaffas": Dan demi subuh apabila ia bernafas.

Kisah diatas memaparkan bahwa pembesar-pembesar ahli kitab terdahulu sebenarnya mengetahui dengan yakin bahwa Nabi Muhammad saw adalah sebenar-benar Rasul , cuma ia dirahsiakan kerana ingin menjaga kedudukan mereka disisi manusia. Semoga kisah ini menambahkan lagi kecintaan kita kepada Rasulullah saw bersama kebenaran yang dibawa olehnya.

No comments:

Post a Comment