Tuesday, 20 February 2018

MENGAPA DIA DIGELAR MALIK BIN DINAR?


Malik bin Dinar al-Sami adalah putera seorang budak berbangsa Persia dari Sijistan (Kabul) dan menjadi murid Hasan al-Bashri la terhitung sebagai ahli Hadits Shahih dan merawikan Hadits dari tokoh-tokoh kepercayaan di masa lampau seperti Anas bin Malik dan Ibnu Sirin.

Malik bin Dinar adalah seorang kaligrafer al-Qur'an yang terkena. Ia meninggal sekitar tahun 130 H/748 M.

Ketika Malik dilahirkan, ayahnya adalah seorang hamba tetapi Malik adalah seorang yang merdeka. Orang-orang mengisahkan bahwa pada suatu ketika Malik bin Dinar menumpang sebuah perahu. Setelah berada di tengah lautan, awak-awak perahu meminta: "Bayarlah wang perjalananmu!".

"Aku tidak mempunyai wang",jawab Malik.

Awak-awak perahu memukulinya hingga ia pengsan. Ketika Malik siuman, mereka meminta lagi: "Bayarlah wang perjalananmu!".

"Aku tidak mempunyai wang", jawab Malik sekali lagi, dan untuk kedua kalinya mereka memukulinya hingga pengsan.

Ketika Malik siuman kembali maka untuk ketiga kalinya mereka mendesak.

"Bayarlah wang perjalananmu!".

"Aku tidak mempunyai wang".

"Marilah kita pegang kedua kakinya dan kita lemparkan dia ke laut", pelaut-pelaut tersebut berseru.

Saat itu juga semua ikan di laut mendongakkan kepala mereka ke permukaan air dan masing-masing membawa dua keping dinar emas di mulutnya. Malik menjulurkan tangan, dari mulut seekor ikan diambilnya dua dinar dan wang itu diberikannya kepada awak-awak perahu. Melihat kejadian ini pelaut-pelaut tersebut segera berlutut. Dengan berjalan di atas air, Malik kemudian meninggalkan perahu tersebut. Inilah penyebab mengapa ia dinamakan Malik bin Dinar.

Sumber : Kitab Tazkiratul Auliya Karangan Syeikh Fariduddin Attar.

KISAH MALIK BIN DINAR BERTAUBAT


Tentang pertaubatan Malik bin Dinar, kisahnya adalah sebagai berikut. Ia adalah seorang lelaki yang sangat tampan, gemar bersenang-senang dan memiliki harta kekayaan yang berlimpah-limpah. Malik tinggal di Damaskus di mana golongan Mu'awwiyah telah membangun sebuah masjid yang besar dan mewah. Malik ingin sekali diangkat sebagai pengurus masjid tersebut. Maka pergilah ia ke masjid itu. Di ruangan masjid itu dibentangkannya sajadahnya dan di situlah ia selama setahun terus-menerus melakukan ibadah sambil berharap agar setiap orang akan melihatnya sedang melakukan solat.

"Alangkah munafiknya engkau ini", ia selalu berkata kepada dirinya sendiri.

Setahun telah berlalu. Apabila hari telah malam, Malik keluar dari masjid itu dan pergi bersenang-senang.

Pada suatu malam ketika ia sedang asyik menikmati musik di kala semua teman-temannya telah tertidur, tiba-tiba dari kecapi yang sedang dimainkannya terdengar sebuah suara: "Malik, mengapakah engkau belum juga bertaubat?". Mendengar kata-kata yang sangat menggentarkan hati ini, Malik segera melemparkan kecapinya dan berlari ke masjid.

"Selama setahun penuh aku telah menyembah Allah secara munafiq", ia berkata kepada dirinya sendiri. "Bukankah lebih baik jika aku menyembah Allah dengan sepenuh hati? Aku malu. Apakah yang harus aku lakukan? Seandainya orang-orang hendak mengangkatku sebagai pengurus masjid, aku tidak akan mahu menerimanya". Ia bertekad dan berkhusyuk kepada Allah. Pada malam itulah untuk pertama kalinya solat dengan sepenuh keikhlasan.

Keesokan harinya, seperti biasa, orang-orang berkumpul di depan masjid. "Hai, lihatlah dinding masjid telah retak-retak", mereka berseru. "Kita harus mengangkat seorang pengawas untuk memperbaiki masjid ini". Maka mereka bersepakat bahwa yang paling tepat menjadi pengawas masjid itu adalah Malik. Segera mereka mendatangi Malik yang ketika itu sedang solat. Dengan sabar mereka menunggu Malik menyelesaikan solatnya.

"Kami datang untuk memintamu agar sudi menerima pengangkatan kami ini", mereka berkata.

"Ya Allah", seru Malik, "setahun penuh aku menyembah-Mu secara munafik dan tak seorang pun yang memandang diriku. Kini setelah diberikan jiwaku kepada-Mu dan bertekad bahwa aku tidak menginginkan pengangkatan atas diriku, Engkau menyuruh dua puluh orang menghadapku untuk mengalungkan tugas tersebut ke leherku. Demi kebesaran-Mu, aku tidak menginginkan pengangkatan atas diriku ini".

Malik berlari meninggalkan masjid itu kemudian menyibukkan diri beribadah kepada Allah, dan menjalani hidup prihatin serta penuh disiplin. Ia menjadi seorang yang terhormat dan saleh. Ketika seorang hartawan kota Bashrah meninggal dunia dan ia meningglkan seorang puteri yang cantik, si puteri mendatangi Tsabit al-Bunani untuk memohon pertolongan.

"Aku ingin menjadi isteri Malik", katanya, "sehingga ia dapat menolongku di dalam mematuhi perintah-perintah Allah".

Keinginan dara ini disampaikan Tsabit kepada Malik. "Aku telah menjatuhkan talaq kepada dunia", jawab Malik. "Wanita itu adalah milik dunia yang telah ku talaq, kerana itu aku tidak dapat menikahinya".

Sumber : Kitab Tazkiratul Auliya Karangan Syeikh Fariduddin Attar.

DENDAM KE ATAS KAUM SUFI


Abul Hasan Sumnun bin Abdullah (Hamzah) al-Khauwash, salah seorang sahabat Sari as-Saqathi, digelar sebagai "Si Pencinta" kerana tema dari ceramah-ceramah dan syair-syairnya adalah mengenai cinta mistik. Ia meninggal kira-kira tahun 300 H/913 M.

Ghulam Khalil memperkenalkan dirinya sebagai seorang sufi, kepada khalifah, ia menukar keselamatan yang kekal abadi dengan kenikmatan-kenikmatan duniawi. Di depan khalifah ia selalu memfitnah para sufi dengan maksud agar mereka dihukum buang sehingga tidak seorang pun memperoleh hikmah dari ajaran-ajaran mereka. Dengan demikian ia memperoleh kekuasaan yang tidak tercela.

Ketika Sumnun dewasa, kemasyhuran namanya tersiar ke mana-mana. Namun Ghulam Khalil sering membuatnya menderita dan senantiasa mencari-cari kesempatan untuk dapat memfitnah Sumnun.

Pada suatu ketika, seorang wanita kaya datang menyerahkan dirinya kepada Sumnun. "Lamarlah aku", si wanita berkata kepada Sumnun.

Sumnun menolak. Wanita itu mengadukan halnya kepada Junaid dan meminta Junaid sebagai mewakilinya untuk memujuk Sumnun supaya maju menikahinya. Tetapi Junaid malah memarahinya dan mengusirnya, Wanita itu pergi menghadap Ghulam Khalil dan menjelek-jelekkan Sumnun. Ghulam Khalil sangat senang hatinya dan hal itu segera disampaikannya kepada khalifah. Khalifah memberikan perintah agar Sumnun dihukum pancung. Algojo telah dipanggil dan ketika khalifah hendak memerintahkan "penggal!" tiba-tiba ia menjadi bisu tak dapat berkata-kata, lidahnya kelu menyumbat mulutnya. Malam harinya ia bermimpi dan di dalam mimpi itu ia mendengar suara yang berkata kepadanya: "Kerajaanmu tergantung kepada hidup Sumnun". Keesokan harinya ia memanggil Sumnun untuk dibebaskan dengan segala hormat dan diperlakukan dengan penghargaan yang setinggi-tingginya.
Sejak peristiwa itu, kebencian Ghulam Khalil terhadap Sumnun semakin menjadi-jadi. Di hari tuanya Ghulam Khalil menderita penyakit kusta.

"Ghulam Khalil menderita penyakit kusta", seseorang mengabarkan kepada Sumnun.

Sumnun berkata: "Rupa-rupanya ada beberapa orang sufi yang belum sempurna telah berniat buruk dan melakukan perbuatan yang tidak baik terhadap dirinya. Memang Ghulam Khalil adalah penentang tokoh-tokoh sufi dan telah berkali-kali menyusahkan mereka dengan perbuatannya. Semoga Allah menyembuhkan Ghulam Khalil!"

Kata-kata Sumnun itu disampaikan orang kepada Ghulam Khalil. Ghulam Khalil bertaubat, memohon kepada Allah agar diampuni dosa-dosa yang telah dilakukannya, dan menyerahkan semua harta kekayaannya kepada para sufi. Tetapi para sufi itu tidak mahu menerimanya.

Sumber : Kitab Tazkiratul Auliya Karangan Syeikh Fariddudin Attar

AMALAN-AMALAN YANG TERTOLAK


Imam Abdullah bin Al Mubarak r.a. telah meriwayatkan di dalam kitab Al Zuhd dengan sanad beliau daripada seorang lelaki (iaitu Khalid bin Maadan) yang pernah berkata kepada Muaz:

"Wahai Muaz! Ceritakanlah kepadaku sebuah hadis yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah s.a.w.".

Berkata rawi hadis tersebut (Khalid bin Maadan) lalu Muaz menangis sehingga aku sangka ia tidak dapat berhenti tetapi akhimya Muaz berhenti daripada tangisannya kemudian lalu Muaz berkata:

"Aku mendengar Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadaku:

Wahai Muaz! Sebenarnya aku mahu menceritakan kepada kamu sebuah hadis jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manfaat akan dikau di sisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujjahmu di hadapan Tuhan pada hari Kiamat nanti".

"Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah S.W.T. telah menjadikan tujuh orang malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi kemudian lalu ditentukannya pada setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu langit tersebut".

Langit Pertama

Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Amalan tersebut mempunyai nur bagaikan cahaya matahari, sehingga apabila malaikat Hafazhah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit yang pertama. Mereka menganggap bahawaamalan itu baik dan sangat banyak lalu berkata malaikat penjaga langit pertama itu bagi malaikat Hafazhah:

"Pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui aku untuk terus naik ke atas".

Langit Ke 2

Kemudian datang pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak (Malaikat itu berjaya melintasi langit yang pertama kerana orang yang mengerjakan amalan tersebut tidak terlibat dengan dosa mengumpat orang) sehingga mereka sampai ke langit yang kedua lalu berkata malaikat penjaga langit yang kedua itu:

"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia menghendaki dengan amalannya akan mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke atas. Selain daripada itu ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan. Akulah malaikat penjaga kebesaran".

Langit Ke 3

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, sembahyang, puasa. Para malaikat Hafazhah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu (melintasi langit yang pertama dan kedua) sehingga sampai ke pintu langit yang ketiga maka berkata malaikat penjaga langit ketiga itu:

"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takbur. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takbur dapat melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang ramai".

Langit Ke 4

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba. Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip. Baginya suara tasbih, sembahyang, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazhah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke pintu langit yang keempat maka berkata malaikat penjaga langit keempat itu:

"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat ujub. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang ujub dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan perasaan ujub terhadap dirinya".

Nota:

'Ujub, takbur dan merasa bangga dengan diri sendiri adalah satu penyakit hati yang sangat susah diubati. 'Ujub itu ialah memandang kepada diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran serta memandang orang lain dengan pandangan penghinaan. Tanda yang nampak pada lidah orang yang 'ujub itu ialah ia selalu mengatakan aku begini-begini, aku begini seperti perkataan Iblis (kepada Allah ketika ia tidak mahu sujud kepada Nabi Adam a.s.),

"Aku lebih baik daripadanya (Adam) kerana Engkau menjadikan aku daripada api dan Engkau menjadikannya daripada tanah". (Surah Al A 'raf, ayat 12)

Langit Ke 5

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima seolah-olah amalan itu pengantin yang dihantar (disambut) ke rumah suaminya (maksudnya amalannya itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga langit yang kelima:

"Berhenti kamu dan pukulkan dengan amal ini akan muka orang yang mengerjakannya dan campakkanlah di atas tengkoknya. Akulah malaikat hasad ia sangat hasad kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya. Ia hasad akan orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam ibadat ia juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasad ini melintasi aku".

Langit Ke 6

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada sembahyang, zakat, umrah, jihad dan puasa. Malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut:

"Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia tidak belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang terkena bala dan kesusahan bahkan ia merasa gembira dengan demikian. Akulah malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang seperti ini dapat melintasi aku".

Langit Ke 7

Kemudian naiklah pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Amalan itu ialah sembahyang,puasa, nafkah, jihad dan warak. Baginya bunyi (maksudnya bunyi zikir) seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu tiga ribu orang malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit yang ketujuh maka berkata malaikat penjaga pintu langit tersebut:

"Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat zikir (zikir di sini bermakna: mencari sebutan, iaitu seorang yang beramal dengan tujuan supaya disebut-sebut oleh orang lain).

Aku akan menghalang amalan orang yang riak dari sampai kepada Tuhanku. la beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi hanya bertujuan supaya mendapat tempat yang tinggi di hati para fukaha dan supaya disebut di kalangan para ulama dan supaya masyhur namanya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riak".

Di Hadapan Allah

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seseorang hamba. Amalan itu berupa sembahyang, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam (daripada perkara yang tidak berguna) dan banyak berzikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah.

Para malaikat itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah berfirman kepada para malaikatnya:

"Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan sebenarnya Aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya. la sebenarnya tidak menghendaki akan Aku dengan amalannya tersebut. la hanya menghendaki sesuatu yang lain daripadaKu oleh kerana itu maka Aku turunkan ke atasnya akan laknat Ku".

Lalu para malaikat tadi berkata:

"Ke atasnya laknat Mu dan juga laknat kami". Lalu melaknat akan dia oleh tujuh petala langit dan seisinya.

Mendengar sabda Rasulullah s.a.w. ini lalu Muaz menangis seraya berkata:

"Engkau adalah Rasulullah s.a.w. sedangkan aku adalah Muaz (hamba Allah yang bukan Rasul). Maka bagaimana aku dapat selamat dan sejahtera".

Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab:

"Hendaklah engkau ikuti aku walaupun hanya dengan sedikit amalan. Wahai Muaz jaga lidahmu baik-baik daripada mencela saudaramu yang membaca Al Quran (golongan Ulama) dan pertanggungkanlah segala dosamu ke atasmu dan jangan engkau mempertanggungkan dosamu ke atas mereka dan jangan engkau menganggap dirimu bersih dan jangan pula engkau mencela orang lain dan jangan engkau memuji dirimu di hadapan mereka.

Dan jangan engkau campurkan urusan dunia di dalam urusan akhirat. Dan jangan engkau menyombong diri di dalam majlis nanti orang ramai akan takut kepadamu kerana kejahatanmu dan jangan engkau berbisik kepada seseorang sedangkan seorang lagi ada di sisimu danjangan engkau membesarkan dirimu maka akan terputus daripadamu segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Dan jangan engkau carikkan (pecah belah) akan manusia maka mencarik akan dikau oleh anjing-anjing api neraka pada hari kiamat nanti".

Muaz bertanya: "Ya Rasulullah siapakah orang yang mampu melaksanakan segala perkara yang engkau sebutkan tadi? Dan siapakah yang akan selamat daripada seksaan itu?"

Nabi s.a.w. menjawab: "Itu sebenarnya mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah".

Kemudian lalu Khalid bin Maadan berkata: "Maka aku tidak pernah melihat seseorang yang

banyak membaca Al Quranul Karim lebih daripada Muaz kerana beliau faham terhadap hadis yang besar ini".

Hadis ini riwayat lbnul Mubarak di dalam Kitab Al Zuhd dan riwayat lbnul Jauzi di dalam kitab Al Maudhu'at (Lihat Takhrij Al Iraqi, Ihya Ulumiddin 3/295).

Sumber : Kitab Bidayatul Hidayah Karangan Imam Ghazali.

CARA MELAYAN TETAMU


Selama empat bulan Syibli menerima Abu Hafshin Al Haddad sebagai tetamu. Setiap hari ia menyajikan beraneka macam santapan dan berbagai macam jenis kuih.

Ketika berangkat pulang, Abu Hafshin berkata kepada Syibli:

"Jika engkau datang ke Nishapur akan aku ajarkan kepadamu cara menjamu tetamu dan kemurahan hati yang sejati".

"Apakah kesalahan yang telah aku lakukan?", Syibli bertanya.

"Engkau terlampau menyibukkan dirimu. Jamuan yang berlebih-lebihan tidaklah sama dengan kemurahan hati. Engkau harus melayan tetamu seperti melayan dirimu sendiri. Dengan demikian kedatangan tetamu tidak merupakan beban kepadamu dan kepergiannya tidak merupakan alasan untuk merasa lega. Jika engkau terus menjamu tamu secara berlebihan, maka kedatangannya akan engkau anggap sebagai beban dan kepergiannya sebagai kelegaan. Seorang yang beranggapan demikian terhadap tamunya, tidak dapat dikatakan bersifat pemurah".

Ketika Syibli datang ke Nishapur, ia menginap di rumah Abu Hafshin. Semua tetamu berjumlah empat puluh orang, dan sewaktu malam tiba, Abu Hafshin menyalakan empat puluh satu buah pelita.

"Bukankah engkau sendiri mengatakan bahwa kita jangan berlebihan?", Syibli menegur Abu Hafshin.
"Jika demikian, padamkanlah olehmu lampu-lampu itu".

Syibli menuruti, tetapi betapa pun ia berusaha hanya satu lampu yang dapat dipadamkannya.

"Syeikh, apakah ertinya semua ini?" Tanya Syibli kepada Abu Hafshin.

"Kalian adalah empat puluh utusan Allah, kerana seorang tetamu adalah seorang utusan Allah. Jadi wajarlah apabila demi Allah aku menyalakan sebuah pelita untuk masing-masing di antara kalian dan sebuah untuk diriku sendiri. Keempat puluh pelita yang aku nyalakan demi Allah itu tidak sanggup engkau padamkan, tetapi satu pelita yang aku nyalakan untuk diriku sendiri itu berhasil engkau padamkan. Segala hal yang telah kau lakukan di Baghdad itu dahulu, engkau lakukan demi diriku, tetapi yang aku lakukan di sini, aku lakukan demi Allah. Jadi yang kau lakukan dahulu itu merupakan hal yang berlebih-lebihan tetapi yang aku lakukan ini bukan".

Sumber : Kitab Tazkiratul Auliya Karangan Syeikh Fariddudin Attar