Tuesday, 20 February 2018
DENDAM KE ATAS KAUM SUFI
Abul Hasan Sumnun bin Abdullah (Hamzah) al-Khauwash, salah seorang sahabat Sari as-Saqathi, digelar sebagai "Si Pencinta" kerana tema dari ceramah-ceramah dan syair-syairnya adalah mengenai cinta mistik. Ia meninggal kira-kira tahun 300 H/913 M.
Ghulam Khalil memperkenalkan dirinya sebagai seorang sufi, kepada khalifah, ia menukar keselamatan yang kekal abadi dengan kenikmatan-kenikmatan duniawi. Di depan khalifah ia selalu memfitnah para sufi dengan maksud agar mereka dihukum buang sehingga tidak seorang pun memperoleh hikmah dari ajaran-ajaran mereka. Dengan demikian ia memperoleh kekuasaan yang tidak tercela.
Ketika Sumnun dewasa, kemasyhuran namanya tersiar ke mana-mana. Namun Ghulam Khalil sering membuatnya menderita dan senantiasa mencari-cari kesempatan untuk dapat memfitnah Sumnun.
Pada suatu ketika, seorang wanita kaya datang menyerahkan dirinya kepada Sumnun. "Lamarlah aku", si wanita berkata kepada Sumnun.
Sumnun menolak. Wanita itu mengadukan halnya kepada Junaid dan meminta Junaid sebagai mewakilinya untuk memujuk Sumnun supaya maju menikahinya. Tetapi Junaid malah memarahinya dan mengusirnya, Wanita itu pergi menghadap Ghulam Khalil dan menjelek-jelekkan Sumnun. Ghulam Khalil sangat senang hatinya dan hal itu segera disampaikannya kepada khalifah. Khalifah memberikan perintah agar Sumnun dihukum pancung. Algojo telah dipanggil dan ketika khalifah hendak memerintahkan "penggal!" tiba-tiba ia menjadi bisu tak dapat berkata-kata, lidahnya kelu menyumbat mulutnya. Malam harinya ia bermimpi dan di dalam mimpi itu ia mendengar suara yang berkata kepadanya: "Kerajaanmu tergantung kepada hidup Sumnun". Keesokan harinya ia memanggil Sumnun untuk dibebaskan dengan segala hormat dan diperlakukan dengan penghargaan yang setinggi-tingginya.
Sejak peristiwa itu, kebencian Ghulam Khalil terhadap Sumnun semakin menjadi-jadi. Di hari tuanya Ghulam Khalil menderita penyakit kusta.
"Ghulam Khalil menderita penyakit kusta", seseorang mengabarkan kepada Sumnun.
Sumnun berkata: "Rupa-rupanya ada beberapa orang sufi yang belum sempurna telah berniat buruk dan melakukan perbuatan yang tidak baik terhadap dirinya. Memang Ghulam Khalil adalah penentang tokoh-tokoh sufi dan telah berkali-kali menyusahkan mereka dengan perbuatannya. Semoga Allah menyembuhkan Ghulam Khalil!"
Kata-kata Sumnun itu disampaikan orang kepada Ghulam Khalil. Ghulam Khalil bertaubat, memohon kepada Allah agar diampuni dosa-dosa yang telah dilakukannya, dan menyerahkan semua harta kekayaannya kepada para sufi. Tetapi para sufi itu tidak mahu menerimanya.
Sumber : Kitab Tazkiratul Auliya Karangan Syeikh Fariddudin Attar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment