Thursday, 3 May 2018
ABU BAKAR AS SIDDIQ
Di era dakwah Islam masih secara sembunyi, sahabat pertama yang memberanikan diri membuat seruan secara terbuka mengajak masyarakat Mekah kepada ajaran Rasulullah saw ialah Abu Bakar juga. Walau pun berkali-kali diingatkan Baginda saw agar tidak berbuat demikian kerana dikhuatiri akan menjadi mangsa belasahan dan serangan kaum Quraisy, hal itu semacam tidak menghalang Abu Bakar meneruskan hasratnya.
Diceritakan bagaimana beliau suatu hari mengambi keputusan membawa sebilangan sahabat yang telah memeluk Islam ke Baitullah. Rasulullah saw diriwayatkan ikut serta, tetapi hanya duduk di penjuru Kaabah. Manakala Abu Bakar berdiri memberikan ucapan kepada orang ramai, menyeru mereka kepada Allah dan RasulNya.
Keberaniannya itu telah mencabar keegoan kaum musyrikin. Ucapannya yang terus terang mengajak kepada Islam mengundang kemarahan mereka. Abu Bakar dan para sahabat lain lalu dibelasah, sehingga ada yang luka-luka dan tercedera.
Abu Bakar sendiri jatuh pengsan lantaran dipukul teruk. Mujur juga berita kejadian itu segera sampai ke pengetahuan Bani Tamim, kabilah asal keturunan Abu Bakar. Mereka pun bergegas menyelamatkan beliau dan membawanya pulang. Bahkan, di antara anggota Bani Tamim itu sempat memberi amaran kepada kumpulan musyrikin yang bertanggungjawab mencederakan beliau agar bersedia menghadapi pembalasan mereka sekiranya kecederaan Abu Bakar itu meragut nyawanya.
Namun, seperkara amat menarik ialah reaksi spontan Abu Bakar sendiri tatkala sedar dari pengsannya. Apa agaknya kata-kata pertama beliau? Ya, tidak lain yang terlintas di fikirannya melainkan orang paling disayanginya, Rasulullah saw.
“Bagaimana keadaan Rasulullah?”, itulah soalan pertama ditanyakan Abu Bakar.
Sumber : Ensiklopedia Sejarah Muhammad
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment