Saturday 25 April 2015

DISIPLIN IMAM IBNU JARIR AT-TABARI


Beliau seorang ahli tafsir dan sejarawan yang masyhur. Lebih-lebih lagi dengan dua kitab agung beliau yang berjillid-jilid, Tafsir At-Tabari dan Tarikh At-Tabari yang dirujuk dunia.

Beliau juga terkenal dengan disiplinnya terhadap ilmu pengetahuan. As-Simsimi berkata: Beliau menulis setiap hari empat puluh helaian dalam masa empat puluh tahun!

Muridnya (al-Qadhi Abu Bakar) telah meriwayatkan bahawa beliau seorang yang sangat menjaga rutin hariannya. Selepas mengambil sarapan pagi beliau akan tidur kemudian bangun dan solat zohor. Sejurus kemudian beliau akan mula menulis hingga masuk waktu Asar. Apabila selesai menunaikan Fardhu Asar, dia akan bersama murid-muridnya menelaah ilmu sehingga Maghrib. Selepas Maghrib pula beliau akan mengajar ilmu Fiqh sehingga larut malam.

Jika kita perhatikan, betapa beliau pandai membahagikan masa dan usianya demi kepentingan agama, masyarakat dan dirinya sendiri.

Beliau tidak pernah membazirkan walaupun sesaat pada perkara yang tidak berfaedah, masa baginya biarlah digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah ataupun mengambil faedah daripada orang lain dan memberi faedah kepada masyarakat. 

Inilah dia ikutan kita, seorang ahli agama yang mujtahid, yang menggadaikan umurnya semata-mata untuk ilmu, agama, untuk Allah, dan untuk beribadah.

Dalam kisah yang lain, antara lainnya mengisahkan kehidupan Imam at-Tabari yang tidak boleh terpisah daripada ilmu. Kisah ini diriwayatkan oleh salah seorang sahabat beliau (al-Murafi bin Zakaria) yang datang menziarahi waktu sakitnya. 

Apabila Imam at-Tabari mendengar salah seorang pelawat membaca doa ke atasnya lalu dia berkata, tolong ambilkan aku sebatang pen dan sehelai kertas, kemudian beliau menulis doa tersebut. Salah seorang daripada mereka bertanya: "Apakan kamu masih menulis ilmu sedangkan kamu dalam keadaan begini?"

Jawab beliau: "Sememangnya menjadi kewajipan setiap manusia untuk tidak meninggalkan ilmu berlalu pergi begitu sahaja hingga kita mati." 

No comments:

Post a Comment