Thursday, 30 April 2015

GUGURNYA AIR MATA RASULULLAH SAW


Diriwayatkan daripada Sayidina ‘Umar bin Al-Khattab RA, bahawa beliau telah berkata: Malaikat Jibril AS telah datang kepada Nabi SAW pada waktu yang tidak selalunya dia datang. Lalu Rasulullah SAW datang kepada Jibril dan berkata:
“Wahai Jibril, mengapa aku melihat wajahmu berubah?” Lalu Jibril AS berkata: “ Tidaklah aku datang kepadamu sehinggalah Allah SWT telah memerintahkan aku dengan nyalaan api neraka.” Maka Rasulullah SAW berkata kepada Malaikat Jibril AS: “Wahai Jibril, gambarkanlah kepadaku tentang neraka, dan sifatkanlah kepadaku tentang Jahannam.”

Lalu Malaikat Jibril As berkata:”Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan kepada neraka Jahannam agar dinyalakan selama 1000 tahun, sehingga apinya berubah menjadi putih, kemudian diperintahkan oleh Allah SWT lagi agar dinyalakan selama 1000 tahun lagi sehingga apinya menjadi merah. Kemudian diperintahkan oleh Allah SWT agar dinyalakan selama 1000 tahun lagi sehingga apinya menjadi hitam sehitam-hitamnya sehingga tidak hilang lagi nyalaannya, dan tidak padam lagi baranya. Dan demi (Tuhan) yang telah mengutus engkau dengan kebenaran, jika neraka Jahannam terbuka sebesar lubang jarum, nescaya akan mati seluruh manusia yang berada di bumi kerana kepanasannyadan demi (Tuhan) yang telah mengutus engkau dengan kebenarannya, jika salah satu penjaga daripada penjaga-penjaga neraka muncul di hadapan ahli dunia nescaya akan matilah keseluruhannya mereka disebabkan oleh rupa yang sangat buruk dan baunya yang sangat busuk. Dan demi (Tuhan) yang mengutus engkau dengan kebenaran, jika salah satu rantai dan rantai-rantai yang dipakai oleh ahli neraka yang telah disebut oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya diletakkan di atas gunung, nescaya akan hancur leburlah gunung sehingga ke bumi yang paling bawah.”

Maka Rasulullah SAW berkata: “ Cukuplah wahai Jibril, hatiku tidak dapat menaggungnya lagi kerana aku pasti akan mati (jika terus mendengarnya). Kemudian Saiyidina ‘Umar berkata: Lalu Rasulullah SAW melihat kepada Jibril dan kelihatan Jibril menangis, lalu Rasulullah SAW berkata: “Wahai Jibril mengapa kamu menangis sedangkan Allah SWT telah meletakkan tempatmu sebagaimana kamu sekarang?” Lalu Jibril AS berkata: “Bagaimana aku tidak menangis? Akulah yang lebih utama untuk menangis keran mungkin sahaja di dalam ilmu Allah aku bukanlah di tempat yang tidak sepatutnya aku berada. Dan aku tidak tahu mungkin sahaja aku akan ditimpakan ujian sebagaimana yang telah ditimpakan kepada iblis sedangkan dia juga daripada kalangan malaikat. Dan aku tidak mengetahui mungkin sahaja aku akan diuji sebagaimana yang telah diuji kepada malaikat Harut dan Marut.” Saiyidina ‘Umar selanjutnya berkata: “Maka Rasulullah SAW menangis. Malaikat Jibril juga menangis. Tangisan mereka berdua tidak berhenti sehinggalah diseru nama kedua-duanya – Wahai Jibril dan wahai Muhammad SAW, sesungguhnya Allah SWT telah mengamankan kamu berdua daripada melakukan maksiat kepada-Nya. Lalu naiklah malaikat Jibril AS. Dan keluarlah Rasulullah SAW lalu mendatangi sekumpulan orang Ansar yang sedang ketawa dan bermain dan Nabi SAW berkata kepada mereka : “ Kamu bersuka ria sedangkan di belakang kamu neraka Jahannam? Maka sekiranya kamu mengetahui tentang apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis, dan kamu akan menolak makanan dan minuman serta keluar ke muka-muka bumi kerana tunduk dan patuh kepada Allah SWT.” 

( Al-Tarqhib Wa Al-Tarhib, Juzuk ke-4 M/S248. Turut diriwayatkan oleh Imam Al-Tabarani di dalam kitab Al-Awsat, Hadis bernombor: 5538)

No comments:

Post a Comment