Sunday, 21 August 2016

TANGAN MELEKAT PADA JENAZAH


Pada zaman Imam Malik, terdapat seorang wanita yang buruk akhlaknya. Dia selalu tidur bersama lelaki dan tidak pernah menolak ajakkan lelaki. Tiba pada hari kematiannya, ketika mayatnya dimandikan oleh seorang wanita yang kerjanya memandikan mayat, tiba-tiba tangan si pemandi mayat itu terlekat pada batang tubuh jenazah wanita itu.

Semua penduduk dan ulama' gempar akan hal itu.Mana tidaknya, tangan si pemandi mayat terlekat sehingga semua orang di situ mati akal untuk melepaskan tangannya dari mayat wanita terbabit.

Terdapat berbagai cadangan dan pandangan untuk menyelesaikan masalah itu. Akhirnya ada 2 pandangan yang dirasakan sesuai tetapi berat untuk dijalankan.

Pertama, memotong tangan wanita pemandi mayat dan yang kedua pula tanam/kebumikan kedua-duanya iaitu pemandi mayat dan jenazah itu sekali gus.

Oleh kerana kedua-dua cadangan tersebut masih lagi kurang sesuai, salah seorang dari mereka mereka memutuskan untuk meminta pendapat daripada Imam Malik.

Imam Malik bukan calang-calang orang yang memberi fatwa. Apabila Imam Malik sampai dan melihat apa yang berlaku, Imam Malik bertanya kepada wanita pemandi mayat itu :

"Apakah kamu lakukan atau berkata apa-apa kepada si mati semasa memandikannya"?

Perempuan memandikan mayat tersebut bersungguh-sungguh menjawab bahawa dirinya tidak berbuat atau tidak berkata apa-apa pun ketika menguruskan jenazah.

Selepas diasak dengan berbagai pertanyaan dan takut tangannya akan dipotong atau ditanam sekali dengan mayat, akhirnya wanita pemandi mayat itu berkata bahawa dia ada berkata :

"Berapa kalilah tubuh ini telah melakukan zina sambil menampar-menampar dan memukul-mukul berkali pada batang tubuh si mati".

Imam Malik berkata : "Kamu telah menjatuhkan Qazaf (tuduhan zina) pada wanita tersebut sedangkan kamu tidak mendatangkan 4 orang saksi. Dalam situasi begini, di mana kamu nak cari saksi? Maka kamu harus dijatuhkan hukuman hudud 80 kali sebatan kerana membuat pertuduhan zina tanpa mendatangkan 4 saksi."

Semasa wanita pemandi mayat itu dikenakan hukuman, bila tiba sebatan yang ke 80, maka dengan kuasa Allah SWT, terlepaslah tangannya dari mayat tersebut.

KISAH SAYYIDINA ALI DENGAN DUA MALAIKAT


Kisah ini diriwayatkan Ja’far bin Muhammad, yang memiliki sanad dari ayahnya, lalu dari datuknya. Suatu ketika, datuknya Ja’far menceritakan bahawa Sayyidina Ali bin Abi Thalib karramaLlahu wajhah mengunjungi rumahnya selepas silaturahim kepada Rasulullah.

Di rumah itu Ali menjumpai isterinya, Sayyidah Fatimah, sedang duduk memintal, sementara Salman al-Farisi berada di hadapannya meminta S.Fatimah membuat kain untuknya. 

“Wahai perempuan mulia, adakah makanan yang boleh kau berikan kepada suamimu ini?” tanya Ali kepada isterinya.

“Demi Allah, aku tidak mempunyai apapun. Hanya enam dirham ini, kos upah dari Salman kerana aku telah memintal kapas untuk membuat kain yang diminta olehnya,” jawab S.Fatimah. “Wang ini ingin aku belikan makanan untuk (anak kita) Hasan dan Husain.”

“Bawa kemari wang itu.” Fatimah segera memberikannya dan Ali pun keluar membeli makanan.

Tiba-tiba beliau bertemu seorang laki-laki yang berdiri sambil berujar, “Siapa yang ingin memberikan hutang (kerana) Allah yang maha menguasai dan mencukupi?” Sayyidina Ali mendekat dan langsung memberikan enam dirham di tangannya kepada lelaki tersebut.

Fatimah menangis saat mengetahui suaminya pulang dengan tangan kosong. Sayyidina Ali hanya boleh menjelaskan peristiwa secara apa adanya.

“Baiklah,” kata Fatimah, tanda bahawa beliau menerima keputusan dan tindakan suaminya.

Sekali lagi, Sayyidina Ali bergegas keluar. Kali ini bukan untuk mencari makanan melainkan mengunjungi Rasulullah. Di tengah jalan seorang Badui yang sedang menuntun unta menyapanya. “Hai Ali, belilah unta ini dariku.”

”Aku sudah tak punya wang sesen pun.”

“Ah, kau boleh berhutang dahulu, boleh dibayar nanti.”

“Berapa?”

“Seratus dirham.”

Sayyidina Ali sepakat membeli unta itu meskipun dengan cara hutang. Sesaat kemudian, tanpa disangka, sepupu Nabi ini berjumpa dengan orang Badwi(orang Arab kampung) lainnya.

“Apakah unta ini kau jual?”

“Benar,” jawab Ali.

“Berapa?”

“Tiga ratus dirham.”

Si Badwi membayarnya tunai, dan unta pun sah menjadi tunggangan barunya. Ali segara pulang kepada istrinya. Wajah Fatimah kali ini tampak berseri menunggu penjelasan Sayyidina Ali atas kejadian yang baru saja dialami.

“Baiklah,” kata Fatimah selepas mendengarkan cerita suaminya.

Ali bertekad menghadap Rasulullah. Saat kaki memasuki pintu masjid, sambutan hangat langsung datang dari Rasulullah. Nabi melempar senyum dan salam, lalu bertanya, “Hai Ali, kau yang akan memberiku khabar, atau aku yang akan memberimu khabar?”

“Sebaiknya Engkau, ya Rasulullah, yang memberi khabar kepadaku.”

“Tahukah kamu, siapa orang Badwi yang menjual unta kepadamu dan orang Badwi yang membeli unta darimu?”

“Allah dan Rasul-Nya tentu lebih tahu,” sahut Ali memasrahkan jawapan.

“Sangat beruntung kau, wahai Ali. Kau telah memberi pinjaman kerana Allah seharga enam dirham, dan Allah pun telah memberimu tiga ratus dirham, 50 kali lipat dari tiap dirham. Badwi yang pertama adalah malaikat Jibril, sedangkan Badwi yang kedua adalah malaikat Israfil (dalam riwayat lain, malaikat Mikail).”

Kisah dari kitab "al-Aqthaf ad-Daniyah" ini menggambarkan betapa ketulusan Ali dalam menolong sesama telah membuahkan balasan berlipat, bahkan dengan cara dan hasil di luar dugaannya. 

Keluasan hati isterinya, Fatimah r.a, untuk menerima keterbatasan juga melengkapi kisah kebersahajaan hidup keluarga ini. Dokongan penuh dari Fatimah telah menguatkan sang suami untuk tetap bermanfaat bagi orang lain, meski untuk sementara waktu mengabaikan kepentingannya sendiri makan. 

JANGAN JEMU MENGETUK PINTU


Fudhail bin 'Iyadh berkata: 
Aku belajar tentang sabar daripada seorang kanak-kanak kecil....
Pada suatu hari, dalam perjalananku ke masjid aku melintasi sebuah rumah. Aku terdengar seorang kanak-kanak sedang menjerit dipukul ibunya. Sebentar kemudian kanak-kanak itu membuka pintu dan lari keluar dari rumah. Dan ibunya lantas menutup pintu dan menguncinya.

Selepas itu, aku bertemu dengan kanak-kanak itu. Selepas dia berhenti menangis, dia mula menoleh ke kanan dan ke kiri mencari perlindungan, namun dia tidak menemui sesiapa dan tidak menemui sebarang tempat untuk dia berlindung. Lalu dia kembali ke rumah ibunya. Didapati pintu rumah masih berkunci. Lalu dia merebahkan badan, meletakkan pipinya di hadapan pintu dan tertidur di situ. Manakala ibunya membuka pintu dan mendapati anaknya dalam keadaan itu, dia tidak dapat menahan diri lalu rebah di atas badan anaknya dan menciumnya bertalu-talu seraya berkata: "Duhai anakku, ke mana engkau pergi tinggalkan ibu? Siapa yang dapat menjagamu selain aku? Tidakkah aku telah berkata kepadamu, jangan lawan cakap ibu?" Si ibu memeluk erat anaknya dan membawanya masuk ke dalam rumah.

Melihat peristiwa itu, Fudhail menangis sehingga basah janggutnya. Dia berkata: Maha Suci Allah! Sekiranya seseorang hamba sabar menunggu di pintu Allah, pastilah Allah akan buka pintuNya untuk hamba itu!

Abu Darda' berkata: bersungguh-sungguhlah berdoa. Sesungguhnya siapa yang banyak mengetuk pintu, tidak lama pintu itu akan dibuka untuknya.

Maka sesiapa yang belum mengecapi kemanisan puasa, qiam, sedekah dan tilawah al-Quran sehingga sekarang, jangan berputus asa. Jangan tinggalkan pintu Allah kerana sebentar lagi ia akan dibuka. Sabarlah seketika cuma. Mudah-mudahan Allah akan buka pintu-pintu rahmatNya untukmu dan akan berjurai anugerahNya.

Friday, 19 August 2016

KISAH ILMU HALIMUNAN


Pada suatu hari ketika tentera-tentera Hajjaj mencari-cari imam Hasan al basri, ia sedang bersembunyi di tempat khalwat Habib al ajami.
"Apakah engkau telah melihat Hasan pada hari ini?" tanya mereka kepada Habib.
"Ya, aku telah melihatnya", jawab Habib.
"Di manakah Hasan pada saat ini?"
"Di dalam bilik khalwat  ini".

Para tentera tersebut memasuki pertapaan Habib dan mengadakan penggeledahan, namun mereka tidak berhasil menemukan Hasan.

"Tujuh kali tubuhku tersentuh oleh mereka". Hasan mengisahkan, "namun mereka tidak melihat diriku".

Ketika hendak meninggalkan bilik khalwat itu Hasan mencela Habib: "Habib, engkau adalah seorang murid yang tidak berbakti kepada guru. Engkau telah menunjukkan tempat persembunyianku".

"Guru, kerana aku berterus terang itulah engkau dapat selamat. Jika tadi aku berdusta, nescaya kita berdua sama-sama tertangkap".

"Ayat-ayat apakah yang telah engkau bacakan sehingga mereka tidak melihat diriku?", tanya Hasan.

"Aku membaca Ayat Kursi Rasul beriman (al-Qur'an, 2: 255) sepuluh kali, dan Katakanlah. Allah itu Esa (al-Qur'an, 112: 1) sepuluh kali. Setelah itu aku ber-kata: 'Ya Allah, telah ku serahkan Hasan kepada-Mu dan oleh kerana itu jagalah dia' ".

Sumber : Kitab Tazkiratul Al Auliya Karangan Syeikh Fariduddin Al Attar.

SI ABID DAN PENJAHAT


Pada suatu hari, bertemulah kedua orang ini. Si Penjahat berkata kepada dirinya (dalam hati), "Aku ini adalah seorang durhaka, sedang ia adalah seorang ahli ibadah, biarlah aku duduk di dekatnya agar Allah merahmatiku". Ia pun duduk disamping si Abid.

Sedangkan si Abid dengan memandang rendah berkata dalam hatinya, "Aku ini seorang Abid, sedangkan ia adalah seorang durhaka, mana boleh ia duduk disampingku".

Dan Allah kemudian mewahyukan kepada Nabi di Zaman itu, "Perintahkan keduanya untuk mulai beramal lagi, kerana sesungguhnya AKU telah mengampuni dosa² penjahat itu dan menggugurkan amal si Abid"

Dalam riwayat lain disebutkan bahwa pada waktu mereka beranjak dari tempat duduknya, awan yg sejak tadi berada diatas si Abid, berpindah menaungi sang penjahat.

Sumber : Kitabnya Idahu Asrori Ulumil Muqorrobin Karangan Syeikh Habib Muhammad bin 'Abdullah Al-'aidarus.

Thursday, 4 August 2016

KISAH TERLUPANYA HAFALAN AL QURAN


Pada suatu hari, ketika Abu 'Amr, seorang ahli tafsir terkemuka sedang mengajarkan al-Qur'an, tak disangka-sangka datanglah seorang pemuda tampan ikut mendengarkan pembahasannya. Abu 'Amr terpesona memandang sang pemuda dan secara mendadak lupalah ia akan setiap kata dan huruf dalam al-Qur'an. la sangat menyesal dan gelisah kerana perbuatannya itu. Dalam keadaan seperti ini pergilah ia mengunjungi Hasan al basri dari Bashrah untuk mengadukan kegelisahan hatinya itu.

"Guru", Abu 'Amr berkata sambil menangis dengan sedih. "Begitulah kejadiannya. Setiap kata dan huruf al-Qur'an telah hilang dari ingatanku". Hasan begitu terharu mendengar keadaan Abu 'Amr.

"Sekarang ini adalah musirn haji", Hasan berkata kepadanya. "Pergilah ke Tanah Suci dan tunaikanlah ibadah haji. Sesudah itu pergilah ke Masjid Khaif. Di sana engkau akan bertemu dengan seorang tua. Jangan engkau langsung menegurnya tetapi tunggulah sampai keasyikannya beribadah selesai. Setelah itu barulah engkau mohonkan agar ia mau berdoa untukmu".

Abu 'Amr menuruti petuah Hasan. Di ruangan Masjid Khaif Abu 'Amr melihat seorang tua yang patut dimuliakan dan beberapa orang yang duduk mengelilingi dirinya. Beberapa saat kemudian masuklah seorang lelaki yang berpakaian putih bersih. Orang-orang itu memberi jalan kepadanya, mengucapkan salam dan setelah itu mereka pun berbincang-bincang dengan dia. Ketika waktu shalat telah tiba, lelaki tersebut meminta diri untuk meninggalkan tempat itu. Tidak berapa lama kemudian yang lain-lainnya pun pergi pula, sehingga yang tertinggal di tempat itu hanyalah si orang tua tadi.

Abu 'Amr menghampirinya dan mengucapkan salam.

"Dengan nama Allah, tolonglah diriku ini", Abu 'Amr berkata sambil menangis. Kemudian menerangkan dukacita yang menimpa dirinya. Si orang tua sangat prihatin mendengar penuturan Abu 'Amr tersebut, lalu menengadahkan kepala dan berdoa. "Belum lagi ia merendahkan kepalanya", Abu'Amr mengisahkan, "semua kata dan huruf al-Qur'an telah dapat ku ingat kembali. Aku bersujud di depannya karena begitu syukurnya".

"Siapakah yang telah menyuruhmu untuk menghadap kepadaku?", orang tua itu bertanya kepada Abu 'Amr. "Hasan dari Bashrah", jawab Abu 'Amr.

"Jika seseorang telah mempunyai imam seperti Hasan", lelaki tua tersebut berkata, "mengapa ia memerlukan imam yang lain? Tapi baiklah, Hasan telah menunjukkan siapa diriku ini dan kini akan ku tunjukkan siapakah dia sebenarnya. Ia telah membuka selubung diriku dan kini ku buka pula selubung dirinya".

Kemudian orang tua itu meneruskan, "Lelaki yang berjubah putih tadi, yang datang ke sini setelah waktu shalat 'Ashar, dan yang terlebih dahulu meninggalkan tempat ini serta dihormati orang orang lain tadi, ia adalah Hasan. Setiap hari setelah melakukan shalat 'Ashar di Bashrah ia berkunjung ke sini, berbincang-bincang bersamaku, dan kembali lagi ke Bashrah untuk shalat Maghrib di sana. Jika seseorang telah mempunyai imam seperti Hasan, mengapa ia masih merasa perlu memohonkan doa dari diriku ini?"

Sumber : Kitab Tazkiratul Aulia Karangan Fariduddin Al Attar

DIALOG SUFISTIK SYEIKH ABDUL WAHID BIN ZAID


Suatu hari aku melihat seorang lelaki di tengah perjalananku. Ia memakai baju kulit berbulu. Aku ucapkan salam padanya.

"Semoga Allah merahmati anda. Aku bertanya tentang suatu persoalan…" tanyaku padanya.
"Sila ringkaskan soalan. Hari-hari telah berlalu, nafas terhitung dan terbatas. Sedang Allah terus melihat dan mendengar…" katanya.

"Apakah pangkal ketaqwaan itu?" tanyaku
"Sabar." Jawabnya

"Lalu pangkal kesabaran?"
"Tawakkal pada Allah."

"Pangkal Tawakkal?"
"Memutuskan diri hanya kepada Allah.."

"Pangkal memutuskan diri pada Allah?"
"Menyendiri bersama Allah…"

"Menyendiri dengan Allah itu pangkalnya apa?"
"Tajrid (mengosongkan diri) selain Allah."

"Apakah sesuatu paling lazat?" tanyaku lagi.
"Mesra dengan suka cita pada zikrullah.." Jawabnya.

"Lalu apa sesuatu yang paling baik?"
"Hidup bersama Allah…"

"Apa yang disebut paling dekat?"
"Sambung dengan Allah"

"Kemudian apa yang membuat hati sangat lapar?"
"Berpisah dengan Allah."

"Apakah yang menjadi himmah (cita-cita) orang yang ma'rifat pada Allah?"
"Bertemu Allah."

"Apa tanda-tanda menjadi pecinta Allah?"
"Mencintai zikrullah."

"Apakah sukacita dengan Allah itu?"
"Meneguhkan rahsia batin dengan Allah."

"Apakah pangkal dari pasrah itu?"
"Taslim terhadap perintah-perintah Allah."

"Lalu pangkal dari Taslim (pasrah seluruhnya)?"
"Mengingat bahwa permohonan hanya kepada Allah…"

"Apakah kegembiraan paling agung?"
"Husnudzon kepada Allah."

"Siapakah manusia paling besar?"
"Adalah manusia yang merasa hatinya cukup dengan Allah."

"Siapa manusia paling kuat?"
"Orang yang meraih kekuatan pada Allah."

"Siapa yang disebut orang bangkrap?"
"Orang yang ridho kepada selain Allah."

"Apakah harga diri itu?"
"Melihat dunia bersama Allah…."

"Bila seorang hamba jauh dari Allah?"
"Ketika ia terhijab (tertirai) dari Allah".

"Bila seseorang itu terhijab?"
"Manakala hatinya berhasrat kepada selain Allah."

"Siapakah orang alpa itu?"
"Yaitu orang yang menghabiskan usianya bukan untuk taat kepada Allah."

"Apakah Zuhud di dunia itu?"
"Meninggalkan kesibukan selain Allah yang menghambat dengan Allah."

"Siapa yang disebut orang yang menghadap Allah?"
"Ya, orang yang menghadapkan jiwanya pada Allah."

"Lalu siapa yang menyingkir dari Allah?"
"Ya orang yang menyingkirkan hatinya dari Allah."

"Apakah Qolbun Salim itu?"
"Hati yang kosong selain Allah."

"Ceritakan padaku dari mana anda makan?"
"Dari kekayaan Allah."

"Apa yang sesungguhnya anda inginkan?"
"Yang ditetapkan Allah padaku…"

"Kalau begitu beri aku wasiat…"
"Taatlah kepada Allah, ridholah kepada ketentuan Allah dan bersuka citalah dengan zikrullah, maka kalian akan menjadi pilihan Allah."

Dia pun pergi meninggalkanku.

Sumber : Kitab Haalat Ahli Haqiqah Ma'Allah Karangan Imam Ahmad Ar Rifa'i

BERJALAN ATAS AIR


Suatu ketika Hasan Al Basri ingin pergi ke suatu tempat. Ia lalu menyusuri tebing-tebing di pinggir sungai Tigris sambil merenung-renung. Tiba-tiba Habib Al Ajami muncul di tempat itu.

"Imam, mengapakah engkau berada di sini?", Habib bertanya. "Aku ingin pergi ke suatu tempat namun perahu belum juga tiba", jawab Hasan.

"Guru, apakah yang telah terjadi terhadap dirimu? Aku telah mempelajari segala hal yang ku ketahui dari dirimu. Buanglah rasa iri kepada orang-orang lain dari dalam dadamu. Tutuplah matamu dari kesenangan-kesenangan dunia. Sedarilah bahwa penderitaan adalah sebuah kurniaan yang sangat berharga dan sedarilah bahwa segala urusan berpulang kepada Allah semata-mata. Setelah itu turunlah dan berjalanlah di atas air".

Selesai berkata demikian Habib menginjakkan kaki ke permukaan air dan meninggalkan tempat itu. Melihat kejadian ini, Hasan merasa pusing dan jatuh pingsan. Ketika ia siuman orang-orang bertanya kepadanya: "Wahai imam kaum Muslimin, apakah yang telah terjadi terhadap dirimu?"

"Baru saja muridku Habib mencela diriku, setelah itu ia berjalan di atas air dan meninggalkan diriku sedang aku tidak dapat berbuat apa-apa. Jika di akhirat nanti sebuah suara menyerukan: 'Laluilah jalan yang berada di atas api yang menyala-nyala sedang hatiku masih lemah seperti sekarang ini, apakah dayaku?"

Di kemudian hari Hasan bertanya kepada Habib: "Habib, bagaimanakah engkau mendapatkan kesaktian-kesaktianmu itu?"

Habib menjawab: "Dengan memutihkan hatiku sementara engkau menghitamkan kertas".

Hasan berkata: "Pengetahuanku tidak memberi manfaat kepada diriku sendiri, tetapi kepada orang lain".

Sumber : Kitab Tazkiratul Aulia Karangan Fariduddin Al Attar